Jika dana untuk ping pong sama rata, pencapaian kita boleh pergi jauh seperti badminton – Muhammad Fadly

507

Pengasas Akademi Ping Pong Ninja, Muhammad Fadly Ayub beranggapan bahawa sukan tersebut mempunyai potensi seperti badminton jika diberikan dana yang sama banyak.

Katanya, dengan dana yang terhad ketika ini pun, atlet negara ramai yang mempamerkan prestasi yang baik di kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Komanwel.


“Saya nampak ping pong adalah satu sukan yang boleh bersaing sama kuat seperti badminton, ia tidak gunakan sentuhan fizikal jadi memang sesuai dengan kita.

Cuma saya minta dana yang diberikan perlu sama rata, barulah kita boleh pergi jauh, kita lihat atlet kita berjaya sumbang pingat di Sukan SEA dan Sukan Komanwel, dengan dana terhad yang kita ada boleh maksimumkan pencapaian seperti itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berharap dapat melihat ping pong dimasukkan dalam sukan teras satu hari nanti supaya Malaysia mampu melangkah lebih jauh, mungkin sehingga ke Olimpik.

Beliau berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana memasukkan ping pong dalam acara wajib Sukma.

“Sebelum ini kebiasaannya ia ikut negeri tuan rumah, jika mereka rasa boleh menang emas mereka akan anjurkan.

Jadi saya berterima kasih kepada YB Hannah Yeoh kerana menjadikan ping pong sukan wajib, setelah beberapa tahun ping pong tiada dalam Sukma, dengan adanya ping pong dalam Sukma baru kita tahu tahap pemain kita.”

Fadly berharap ping pong dapat dimasukkan dalam sukan teras dan Malaysia akan lebih aktif menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa.

Beliau juga mahu melihat Malaysia mempunyai wakil pertama di Sukan Olimpik dalam sukan ping pong.