Visi saya dan Perak FC pada mulanya selari, tapi kemudian saya dipecat – Lim Teong Kim

819

Bekas ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim memberitahu bahawa beliau dan pihak pengurusan pada mulanya mempunyai visi yang sama dalam membina semula pasukan dari bawah, namun belum pun tamat pusingan pertama Liga Super beliau dipecat.

Menurut Teong Kim, beliau nyata kecewa dengan apa yang berlaku kerana sudah melihat ada peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.


“Saya rasa kecewa kerana saya boleh lihat pemain-pemain sedang belajar dan berdasarkan perlawanan demi perlawanan walaupun kita kalah tapi kita dapat lihat peningkatan. Seperti yang katakan, saya perlukan masa.

Mereka (pihak pengurusan) juga mempunyai visi sama seperti saya, tapi tidak lama kemudian saya dipecat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Teong Kim pada masa sama menganggap pemecatannya adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak dan sedikit pun tidak marah kerana beliau mahu keluar dengan cara baik sama seperti ketika beliau mula-mula menyertai kelab itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu selepas ini beliau mahu pulang ke Jerman semula dan berehat seketika dari dunia bola sepak sebelum memikirkan perancangan seterusnya.

Beliau bagaimanapun terbuka untuk kembali mengendali mana-mana pasukan di Liga Malaysia sekiranya pihak kelab dapat capai kata sepakat dengannya.

“Saya sentiasa terbuka tapi ia semua bergantung kepada terma dan syarat.”

Teong Kim juga hanya tersenyum apabila ditanya samada beliau terbuka untuk kembali menerajui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Beliau turut menekankan kepentingan dalam mendidik pemain-pemain muda.

“Saya boleh melatih mana-mana pasukan dan saya nak katakan sekali lagi iaitu lebih susah mendidik atau melatih pemain-pemain muda dan lebih penting mendidik pemain-pemain yang muda. Ini adalah pengalaman saya lalui ketika bersama Perak FC.”

Sementara itu, jurulatih berusia 59 tahun juga mengakui beberapa pemain The Bos Gaurus masih lagi berhubung dengannya, namun beliau tidak dapat mendedahkan identiti pemain tersebut.