Pertahanan ‘sado’ dari Korea Selatan bakal sertai Perak FC

1,211

Perak FC dilaporkan akan membawa masuk seorang pemain pertahanan tengah tegap baharu daripada Korea Selatan pada jendela pendaftaran pemain kedua akan datang.

Pemain yang dimaksudkan tersebut adalah Kim Youndo bekas pemain kelab Jerman, FC Rotweiss Erfurt yang beraksi di divisyen ketiga negara itu.


Pemain berbadan sasa yang mempunyai ketinggian 1.90 meter itu diharapkan mampu menambah baik bahagian pertahanan Perak yang kini sudah bolos 34 gol, ketiga terburuk dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau yang mempunyai nama panggilan ‘Helk’ akan menyertai tiga lagi pemain Korea Selatan lain dalam pasukan itu iaitu Lee Joo-han, Sim Hyun-ki dan Seo Seonung.

Youndo pernah memenangi saingan K-League B-17 pada tahun 2019 bersama pasukan Busan IPark, selain menerima anugerah pemain tahunan Persatuan Bola Sepak Busan pada tahun 2019.

Perak dijangka akan mengumumkan kehadiran pemain itu pada minggu ini selepas jendela perpindahan dibuka secara rasmi.