Hadi Fayyadh mesti buktikan kemampuan di Piala MFL untuk pikat Yusri Che Lah ‘naikkan pangkat’ ke skuad utama

374

Gagal menyerlah di mata pengendali Perak, Hadi Fayadh dilihat hilang punca dan kini diturunkan untuk bermain bersama skuad B-23 tahun Perak FC yang kini beraksi di Piala MFL.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan pemain yang disebut-sebut bakal menggantikan penyerang berbisa negara seperti Safee Sali satu ketika dahulu selepas prestasi yang memberansangkan ditampilkan sepanjang berada di skuad muda negara.


Pada awal musim ini, bekas jurulatih Perak iaitu Datuk Lim Teong Kim (LTK) sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa pemain yang berkelana di Jepun tersebut bagi memperkuatkan jentera serangan skuad tersebut.

Namun perlawanan demi perlawanan, pemain yang bermain untuk pasukan Fagiano Okayama dalam Liga 2 Jepun itu jelas tidak memberi impak yang mendalam terhadap skuad The Bos Gaurus (TBG) itu sekaligus menyebabkan mereka agak buntu apabila berada di hadapan gawang gol lawan.

Hadi yang dibawa masuk sebagai pemain utama bagi membawa kejayaan kepada Perak dilihat tidak menjadi, dan akhirnya dihujani kritikan oleh para penyokong TBG dan ada juga yang meminta supaya LTK ketika itu merehatkan Hadi atau menurukannya di Piala MFL kerana corak permainannya yang tidak setanding Liga Super.

Hadi yang sehingga kini hanya tampil 11 perlawanan dengan rekod dua bantuan jaringan sahaja telah menyebabkannya tercicir daripada menjadi pilihan utama di bahagian serangan jurulatih gantian iaitu Yusri Che Lah untuk membawa Perak bersaing dengan kelompok atas Liga Super.

Penyerang tinggi lampai itu juga perlu membuktikan bahawa beliau layak untuk bermain di Liga Super sekaligus memberikan yang terbaik untuk memastikan dapat menarik perhatian Yusri Che Lah.

Selain itu, beliau harus membuktikan statusnya sebagai seorang pemain yang berpengalaman selepas berkelana ke Jepun selama empat tahun.

Selepas Perak mengalami beberapa siri kekalahan dan seri dalam perlawanan dimainkan oleh Hadi dan terus kempunan gol, akhirnya pemain kelahiran Kuala Lumpur itu diturunkan ke skuad muda, Perak II untuk mendapatkan semula momentum permainannya.

Hal ini sangat penting untuk Hadi sendiri sebagai salah seorang pemain muda yang sangat diharapkan untuk menjadi penyerang terbaik Malaysia, di samping beliau perlu berusaha lebih memandangkan kini semakin banyak pemain-pemain muda yang sudah mula menunjukkan taring mereka.

Selain itu, dalam kejohanan Piala MFL juga, Hadi bersaing dengan pemain-pemain yang lebih muda selain dapat beradaptasi semula dengan corak dan intensiti permainan di Malaysia memandangkan beliau sudah lama bermain di luar negara.

Hadi yang sudah kempunan gol sejak memulakan perjalanannya di Malaysia awal tahun ini, akhirnya berjaya memecah masuk ke senarai penjaring selepas mencetak masuk satu gol pada perlawanan menentang Selangor FC II.

Kini Perak II yang disertai Hadi sedang berada di tangga ke-4 kumpulan B dengan tiga kemenangan, empat seri dan juga tiga kekalahan.