Adakah Perak FC akan ‘rehatkan’ Ahmad Shahrul Azhar buat sementara waktu?

4,216

Setelah lama berteka-teki, akhirnya identiti bekas ketua pasukan kebangsaan yang ditahan atas tuduhan memecah masuk bilik seorang wanita berstatus isteri orang akhirnya didedahkan iaitu Ahmad Shahrul Azhar yang kini merupakan Pengarah Teknikal Perak FC.

Ahmad Shahrul yang didakwa di Mahkamah Majistret semalam telah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.


Biarpun bekas pemain berusia 49 tahun itu masih belum terbukti salah, namun ia sedikit sebanyak menjejaskan imej dan reputasinya sebagai salah seorang pemain bola sepak terbaik negara satu ketika dahulu.

Tidak hanya imej dirinya sahaja, tetapi juga imej Perak FC yang mana beliau merupakan Pengarah Teknikal untuk kelab itu.

Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak kelab mengenai isu tersebut dan membuatkan ramai peminat tertanya-tanya apabila tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan tertinggi kelab itu bagi menjaga nama dan imej kelab.

Ya, tidak dapat dinafikan Ahmad Shahrul boleh dikatakan ‘not guilty until proven’, namun jika beliau teruskan tugasnya mungkin ia sedikit sebanyak akan menjejaskan pasukan.

Mungkinkah pengurusan The Bos Gaurus akan ‘merehatkan’ Ahmad Shahrul sehingga kes mahkamah selesai? Atau mungkin akan terus benarkan beliau berkhidmat kerana kes tersebut adalah perihal peribadi dan bukannya ada kaitan dengan kelab.

Tindakan ‘merehatkan’ juga akan memberi ruang dan peluang untuknya menyelesaikan kes tersebut dahulu dan sekiranya didapati tidak bersalah beliau dapat kembali fokus dengan tugasnya sebagai Pengarah Teknikal.

Untuk rekod, Ahmad Shahrul telah menyarung jersi Perak FA selama sedekat dan pernah menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak 40 kali sejak tahun 1999 sehingga 2002.