Issey Nakajima bangga lihat kejayaan yang dikecapi bekas rakan sepasukan Faisal Halim

448

Bekas pemain Pahang FA, Issey Nakajima-Farran berasa cukup bangga dengan pencapaian dan kejayaan bekas rakan sepasukannya Faisal Halim yang kini menjadi salah seorang bintang bola sepak yang cukup bersinar.

Menurut Issey Nakajima, beliau yang pernah bermain bersama ketika di Pahang kagum dengan skil dan keyakinan yang ada pada Faisal walaupun ketika itu beliau baru berusia 20 tahun.


“Sudah semestinya saya ingat dengan pemain bertubuh kecil itu! Anda boleh lihat bakat beliau pada usia muda dan walaupun bertubuh kecil, namun beliau mempunyai keyakinan yang cukup tinggi.

Ia sesuatu yang menakjubkan dapat melihat seorang pemain kecil bukan sahaja punya keyakinan tinggi, tetapi tidak gentar ‘dibuli’ oleh pemain lebih besar. Beliau juga mempunyai teknik yang berkualiti.

Sehingga kini, saya kadang-kala masih meninggalkan komen di media sosial dengan berkata; ‘Saya sangat bangga kamu!’,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut tumpang gembira dengan kejayaan Faisal bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya dan berkata pemain itu cukup kreatif apabila beraksi di atas padang.

Dalam pada itu, Issey-Nakajima juga berharap pemain berusia 25 tahun itu dapat ‘buat badan’ supaya tubuhnya lebih sasa seperti pemain kebangsaan Switzerland, Xherdan Shaqiri.

“Saya rasa Faisal perlu ‘buat badan’ kerana mahu lihat beliau lebih sasa seperti pemain kebangsaan Switzerland, Xherdan Shaqiri yang pendek tetapi mempunyai tubuh yang sasa.”

Faisal kini merupakan antara pemain yang cukup penting buat Harimau Malaya dan sikap kempimpinan yang dipamerkan apabila di atas padang membuatkan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon memberinya lilitan kapten.