Saya dah menang kes FIFA ke atas Melaka United, tapi tak dapat lagi wang – Justin Baas

1,213

Bekas pemain import Melaka United FC, Justin Baas mendedahkan bahawa beliau masih lagi tidak dibayar oleh pasukan itu walaupun sudah memenangi kes FIFA ke atas mereka.

Jelasnya, setakat ini, beliau hanya dibayar gaji selama lima bulan pertama sahaja dan masih menunggu baki pembayaran.


“Selepas saya keluar daripada Melaka United, saya pergi membawa kes ke FIFA di mana saya telah menang kes itu, tetapi saya masih tidak dapat lagi wang.

Saya tandatangani kontrak dengan mereka selama dua tahun tetapi saya hanya menerima pembayaran gaji lima bulan pertama sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui ada perasaan kesal apabila terjadi kes sebegitu, tetapi berkata sebahagian lagi dari dirinya merasa bahawa hatinya masih di Melaka.

Tambahnya, jika tiada masalah gaji, beliau amat gembira bermain di Malaysia kerana layanan oleh masyarakat di negara ini terhadapnya.

“Saya meninkmati tempoh karier saya di Melaka United, saya rasa saya dah lakukan dengan baik, penyokong juga gembira dengan saya tetapi sukar untuk teruskan kerana ada masalah gaji.

Jika saya pemain tempatan mungkin saya boleh kekal tetapi saya merantau ke negara orang dan terpaksa mengeluarkan wang simpanan saya.”

Katanya, beliau kini sedang berada di Belanda dan berlatih dengan rakan-rakan di sana bagi mengekalkan kecergasannya.

Beliau meluahkan keinginannya untuk kembali bermain di Malaysia satu hari nanti sekiranya ada kelab lain yang mahukan khidmatnya.