Ada kelab Liga Super tawar kontrak selepas keluar Melaka United, tapi kelab itu pun ada masalah gaji – Justin Baas

412

Bekas pemain Melaka United FC, Justin Baas mengakui ada kelab daripada Liga Super yang menawarkan kontrak kepadanya selepas beliau keluar daripada bekas kelabnya itu tetapi menolak kerana mendengar kelab itu mengalami masalah tunggakan gaji.

Katanya, selepas mengalami masalah sama di Melaka United, beliau sudah tidak sanggup lagi menghadapi masalah yang sama justeru terpaksa membuat keputusan seperti itu.


“Saya tak mahu sebut nama kelab itu tetapi ada kelab yang tawar kontrak kepada saya sehari sebelum datuk saya meninggal dunia, tetapi saya dengar kelab itu juga ada masalah kewangan, sekarang di media sudah bercerita tentang masalah gaji mereka.

Saya memang mahu pergi tetapi saya tahu mereka ada masalah gaji jadi saya katakana tidak, saya harap satu hari nanti saya dapat kembali ke Malaysia sekali lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, beliau merindui suasana di Malaysia di mana para penyokong dan semua orang di kelab itu begitu baik dengannya.

Beliau teringat satu memori ketika beliau berjaya menjaringkan gol menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menerima makanan percuma dari seorang peniaga.

“Ada satu perlawanan menentang JDT dan saya jaringkan gol, selepas itu saya pulang ke rumah lewat malam dan saya rasa lapar, kemudian saya keluar untuk mencari makanan tetapi kedai banyak sudah tutup.

Saya akhirnya pergi ke satu kedai ini dan membeli nasi lemak dan jus epal, kemudian peniaga itu kata kepada saya tak perlu bayar kerana saya menjaringkan gol menentang JDT.”

Dalam pada itu, beliau yang pernah bermain di Thailand bersama pasukan Ratchaburi Mitr Phol berkata perbezaan antara kedua-dua negara adalah kualiti permainan di Thailand adalah lebih tinggi kerana padang di sana begitu baik.

Namun, beliau merasakan dari segi kualiti individu, Malaysia juga adalah sangat baik.