Pemain muda bakal berjuang di Kejohanan Badminton Remaja Dunia bulan depan tanpa sifu badminton negara

135

Dunia badminton negara kini kecoh selepas Datuk Misbun Sidek dakwa dipecat dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) walaupun pada mulanya dikatakan dilepaskan secara persetujuan bersama.

Kontroversi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan memberi berita buruk buat badminton negara kerana ia akan menjejaskan prestasi pemain-pemain remaja ketika mereka bakal menyertai Kejohanan Remaja Dunia BWF 2023 yang akan berlangsung pada bulan hadapan.


Nasib para pemain muda yang jelas masih memerlukan khidmat jurulatih berpengalaman seperti Misbun pasti akan terganggu kerana telah kehilangan jurulatih pada saat genting sebulan sebelum bermulanya kejohanan yang besar.

Kontrak Misbun yang ditamatkan awal bermula hari ini juga semestinya akan memberi kesan kepada momentum serta prestasi pemain muda untuk terus berlatih dengan kaedah yang berlainan dan tanpa jurulatih yang sebelum ini banyak membantu pasti memberikan kesan kepada persiapan rapi mereka.

Fokus pemain muda seperti Justin Hoh yang sedang dalam proses untuk dibentuk sebagai pelapis buat pemain perseorangan lelaki negara pasti terganggu dengan kehilangan jurulatih yang telah lama bersamanya itu.

Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, terdapat kemungkinan besar ramai pemain-pemain dari ABM akan mengambil keputusan untuk keluar bergerak sendiri sebagai pemain profesional.

Pemergian Misbun boleh dikatakan tidak tepat pada masanya kerana pemain kini sedang dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan besar dan amat memerlukan bimbingan daripada seorang jurulatih berpengalaman.

Bukan sahaja pemain akan seperti hilang arah, tetapi fokus mereka juga akan terjejas sekaligus akan menyebabkan prestasi mereka merosot.

Jika jurulatih baru dilantik juga tidak akan banyak membantu para pemain, sebaliknya mereka akan bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan latihan dan falsafah baru jurulatih yang mana mereka perlukan masa untuk mengadaptasi.

Oleh itu, diharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana supaya badminton negara tidak terus terjerumus dalam prestasi merosot.

Suka atau tidak, Malaysia kini bukan lagi kuasa besar dunia dalam badminton sejak beberapa tahun kebelakangan ini dek prestasi ‘yo yo’ yang dipamerkan oleh pemain badminton negara.

Mungkin sudah tiba masa untuk perubahan drastik dilakukan bagi mengembalikan zaman kegemilangan badminton negara dan merampas semula gelaran sebagai kuasa besar dunia badminton.