Tony Netto tinggalkan legasi besar dalam arena bola sepak di Malaysia ketika bersama Perak

561

Bekas jurulatih Perak FC, Antonio Gonzaga Netto atau lebih dikenali sebagai Tony Netto yang pernah terkenal dengan corak permainan Samba ketika membawa pasukan The Bos Gaurus dahulu telah meninggal dunia pada hari ini.

Jurulatih dari Brazil yang berkhidmat selama empat musim daripada tahun 2002 hingga 2005 itu pernah membawa pasukan Perak menjadi juara liga selama dua musim berturut-turut iaitu pada tahun 2002 dan 2003.


Malah, dengan gaya serta corak permainan yang dibawanya itu telah memberi kesan serta mengubah lanskap permainan bola sepak Malaysia dengan gaya permainan yang lebih segar.

Di bawah Netto juga, Perak pernah merangkul kejuaraan Piala FA pada tahun 2004 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau kini dikenali sebagai Piala Sumbangsih pada tahun terakhir beliau bersama skuad Seladang itu.

Diberikan gelaran sebagai jurulatih paling berjaya kerana telah memacu pasukan Perak ke era kegemilangannya dan puncak prestasi yang membanggakan ketika itu.

Malah jurulatih yang berusia 86 tahun itu juga turut melahirkan nama-nama besar pada ketika itu seperti Khalid Jamlus, Indra Putra Mahayuddin dan V. Saravanan, sekaligus menolak dakwaan bahawa jurulatih daripada Amerika Latin tidak sesuai untuk mengendalikan kelab di Malaysia.

Pencapaian membanggakan mewarnai arena bola sepak negeri Perak dengan cemerlang itu telah menyaksikan beliau menerima anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak daripada Sultan Perak sendiri ketika itu iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah.

Selepas kontraknya tidak diperbaharui pada tahun 2005 selepas pencapaian memberangsangkan bersama Perak, beliau juga pernah membawa pasukan seperti MPPJ FC serta Persipura Jayapura di Indonesia.

Era kemuncak dan legasi yang ditinggalkan oleh Tony Netto bersama skuad Seladang suatu ketika dahulu akan sentiasa diingati buat selama-lamanya.