Aguero cepat belajar Bahasa Melayu, penguasaan lagu Negaraku fokus utama modul pembelajaran – Farah Omar

1,063

Kapten Sri Pahang FC iaitu Sergio Aguero kini sedang giat untuk memantapkan penguasaan Bahasa Melayu, di mana beliau mengambil kelas persendirian bersama seorang pensyarah, Farah Omar yang kini sedang berkhidmat di sebuah universiti di Pahang.

Mengikut Farah, penggalaman di Malaysia selama lebih lima tahun menjadikan beliau seorang yang cepat belajar dan mudah memahami semua modul pembelajaran walaupun ini merupakan kali pertama beliau mengambil kelas Bahasa Melayu.


“Dari kelas pertama, jika pelajar lain hanya dapat belajar satu subtopik sahaja tetapi Aguero dapat belajar empat subtopik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, penguasaan lagu Negaraku juga merupakan fokus utama dalam modul pembelajaran Aguero kerana beliau akan kerap menggunakan ketika perlawanan.

Malah, kerana Aguero sudah terbiasa mendengar lagu kebangsaan sebelum ini semasa mewakili skuad Harimau Malaya, maka beliau hanya mempunyai sedikit masalah saja dari aspek penghafalan dan sebutan sahaja yang masih belum lancar.

“Untuk lagu Negaraku dan lagu negeri Pahang, saya perlu cepatkan modul pembelajaran kerana penting untuk perlawanan Aguero.

Lagipun, beliau sudah mengetahui lagu tersebut cuma hanya sebutan penghafalan sahaja yang kurang.”

Farah juga menggalakkan pemain-pemain naturalisasi untuk belajar Bahasa Melayu demi kepentingan mereka bukan sahaja di atas padang tetapi juga untuk kehidupan seharian mereka sebagai penduduk tetap di Malaysia.

“Sangat digalakkan untuk pemain yang sudah mendapat kewarganegaraan, bukan sahaja untuk kegunaan di atas padang tetapi untuk memudahkan mereka agar rasa seronok lalu mengaggap negara ini seperti negara mereka sendiri.”

Kepuasan Farah sendiri sebagai guru kepada pemain Harimau Malaya itu adalah apabila dapat membantu Aguero untuk memahami keseluruhan Bahasa Melayu dari segi pembacaan yang fasih, penulisan dan semestinya bercakap menggunakan Bahasa Melayu.

Langkah positif ini pasti akan mendatangkan kebaikan buat Aguero ketika beraksi di atas padang kelak ketika menyarung jersi pasukan kebangsaan.