Rodney Celvin mungkin berdepan tindakan tegas dek insiden kad merah

1,470

Pemain import Kedah Darul Aman FC, Rodney Celvin yang dilayangkan kad merah selepas menyepak muka pemain Perak FC, Seo Seonung mungkin berdepan tindakan lebih tegas selain penggantungan dua perlawanan.

Ini kerana tindakan yang dilakukan Rodney atau dikenali dengan panggilan Bonai itu disifatkan sebagai satu tindakan ganas apabila tindak balas beliau telah menyebabkan pemain dari Korea Selatan itu patah hidung.


Bonai bertindak emosi selepas pasukannya ketika itu ketinggalan 2-1 dalam perlawanan pertama Piala Malaysia dan susulan layangan kad merah tersebut ia telah merencatkan permainan Kedah untuk mencari gol penyamaan menyebabkan mereka terpaksa akur tumpas 3-1.

Insiden sebegini tidak seharusnya berlaku ke atas seseorang pemain profesional tambahan pula kini Kedah kehilangan tonggak pertahanan penting untuk perlawanan timbal balik yang dimainkan di Stadium Darul Aman pada 18 Ogos ini.

Perkara sama turut diakui oleh ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain yang menganggap tindakan pemain itu akan merencatkan perancangan pasukan.

Dalam pada itu, ketika ini Bonai mungkin akan dikenakan tindakan lebih oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini kerana merujuk beberapa kes yang pernah berlaku sebelum ini, ada pemain yang digantung tiga perlawanan termasuk kena denda.

Tidak dapat dinafikan perlawanan insiden seperti ini akan berlaku apabila situasi perlawanan tegang, namun setiap pemain perlu kawal emosi supaya tidak bertindak keterlaluan kerana ia bukan sahaja merugikan diri sendiri tetapi juga pasukan.

Mungkin insiden yang berlaku akan jadi pengajaran kepada Bonai dan juga kepada pemain-pemain lain supaya bersikap lebih profesional dan tidak beremosi dalam membuat tindak balas.

Semoga cepat sembuh Seo Seonung.