Usaha tidak mengkhianati hasil, LZJ ke separuh akhir selepas 5 bulan pamer aksi longlai

292

Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zi Jia (LZJ) berjaya menamatkan badi lima bulan apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia sebentar tadi.

LZJ yang sebelum ini mengumumkan kembalinya beliau di kejohanan badminton selepas berehat sebulan, berjaya pamer aksi mengujakan hari ini apabila turun di pentas suku akhir menentang rakan senegara Ng Tze Yong yang turut mempunyai rekod baik dalam beberapa siri kejohanan sebelum ini.


Hal ini menunjukkan keserasian yang sedang dibina oleh LZJ dan jurulatih barunya Wong Tat Meng sedang membuahkan hasil apabila terpancar semangat melawan dalam gelanggang yang mana sebelum ini kian pudar dalam corak permainan LZJ.

Pemain yang kini berusia 25 tahun itu tidak mengalah selepas tumpas di set pertama dengan memenangi set yang kedua yang sangat sengit dengan mata 26-24 sekaligus membawa kedua-dua pemain negara itu berentap di set penentuan.

Kejar dan terus mengejar akhirnya usaha bekas pemain No.2 dunia itu berhasil apabila berjaya memenangi set ketiga sekaligus melayakkan dirinya ke peringkat separuh akhir.

Kali terakhir LZJ melangkah ke pusingan separuh akhir kejohanan di bawah Badminton World Federation (BWF) adalah di Kejohanan Terbuka Swiss pada bulan Mac yang lalu apabila beliau tumpas di tangan Koki Watanabe dengan straight set 21-11 dan 21-14.

Jika kita melihat kembali apa yang dilalui oleh pemain muda negara ini sudah pasti detik ini yang dinantikan oleh para peminat tanah air yang mahu beliau kembali ke prestasi gemilangnya yang sangat dahagakan kejuaraan.

Kini dengan sasaran untuk mengejar semula slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah semestinya para peminat mahukan kejayaan demi kejayaan bakal diraih oleh LZJ dalam tempoh beberapa bulan ini.

Diharapkan dengan kemenangan dan kemaraannya hari ini, beliau akan konsisten dan kembali menjadi sandaran utama buat skuad badminton negara meraih pingat emas Olimpik pertama dalam sejarah sukan negara di bumi Paris tahun hadapan.

LZJ esok bakal beraksi menentang Weng Hongyang iaitu pemain muda berusia 24 tahun yang berasal dari China dan kini beliau sedang menduduki tangga ke-28 Dunia.