Fandi Ahmad kecewa pemain pamer permainan terlalu santai hingga hampir dimalukan Harini FT

425

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad meluahkan rasa kecewanya dengan persembahan pemainnya pada malam ini apabila mereka hampir dimalukan Harini FT dalam perlawanan pertama Piala Malaysia yang menyaksikan mereka menang tipis 3-2.

Menurut Fandi, beliau sudah memberi peringatan kepada pemain supaya menggandakan usaha mereka walaupun bermain dengan pasukan dari Liga M3, namun sebaliknya berlaku.


“Saya rasa kita lepas mendahului 2-0 kita bermain terlalu santai. Saya sudah beritahu pemain, bermain dengan mana-mana pasukan tidak kira dari divisyen berapa semua bermain bola sepak dan jika beri peluang mereka pasti akan bangkit.

Selepas kita mendahului 2-0 saya tahu mereka sudah habis tapi bila mereka dapat sentuhan ajaib tadi, mereka terus bersemangat dan itu membuatkan kita parah dan kucar kacir. Jadi saya rasa hampa sedikit,”

katanya.

Tambahnya lagi, sebagai pasukan profesional mereka sepatutnya bermain dengan lebih baik lagi tapi perkara itu tidak berlaku.

Beliau pada masa sama turut memuji permainan pemain lawan yang bermain dengan cukup pantas sekali apabila melakukan serangan balas.

Dalam pada itu, Fandi juga mahu pemain-pemainnya mempunyai mentaliti kemenangan kerana baginya ia sangat penting.

“Yang pertama saya sudah banyak menasihati pemain-pemain untuk mempunyai mentaliti dan kemahuan adalah penting.

Ini kerana dalam bola sepak bukan hanya bergantung kepada skil, skil kalau tak ada memang tak boleh main, tapi kemahuan lebih penting dan kemahuan pemain saya kurang.

Saya sudah beritahu pemain bahawa pemain Harini FT punya kemahuan tinggi dan cukup bermotivasi, jadi kita perlu gandakan kemahuan itu.”

Sementara itu, beliau berkata fokusnya kini adalah membuat persiapan untuk perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 8 Ogos nanti sebelum kembali membuat percaturan untuk perlawanan kedua Piala Malaysia nanti.