Kami gembira berjaya menang tapi perlu segera perbaiki kelemahan – Sergio Aguero

116

Pemain Sri Pahang FC, Sergio Aguero gembira apabila pasukannya berjaya memperoleh kemenangan 3-2 menentang Harini FT dalam perlawanan pertama Piala Malaysia malam tadi.

Aguero bagaimanapun berkata mereka tidak boleh terlalu selesa sebaliknya perlu segera bangkit untuk memperbaiki kelemahan untuk perlawanan seterusnya.


“Kita perlu banyak perbaiki permainan kami tapi apa yang penting adalah kita berjaya memperoleh kemenangan pada malam ini.

Perlawanan malam tadi cukup sukar kerana pasukan lawan mempunyai ramai pemain berpengalaman yang pernah bermain di Liga Super sebelum ini, jadi kita perlu gembira dengan kemenangan pada malam ini dan pada masa sama perlu segera perbaiki kelemahan,”

katanya.

Beliau turut mengakui pasukan lawan bermain dengan cukup baik sekali terutamanya di bahagian bertahan selain serangan balas pantas.

Dalam pada itu, pemain naturalisasi negara itu turut mengakui mereka memperlahankan perlawanan selepas mendahului dengan dua gol menyebabkan pemain lawan mengambil kesempatan dengan melakukan serangan demi serangan sehingga berjaya menyamakan kedudukan.

Tersentap dengan gol penyamaan oleh Harini FT, mereka kembali mengatur serangan untuk mencari gol kemenangan dan akhirnya berjaya berbuat demikian pada penghujung babak kedua.

“Ia bukan gol yang tak dijangka sebaliknya selepas kedudukan terikat kami tingkatkan serangan untuk cuba menang kerana kami adalah Sri Pahang, pasukan besar dan apabila bermain dengan pasukan seperti ini kami perlu menang.”

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan seterusnya menentang Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super pada 8 Ogos ini, Aguero berkata mereka perlu pamerkan aksi cemerlang untuk mengejar kedudukan kedua dan ketiga liga.

“Ia merupakan satu perlawanan yang sukar tapi kami mempunyai pemain berkualiti, jadi kita akan pamer aksi terbaik untuk dapat keputusan baik.”