Minggu lepas baru telefon untuk bermain badminton, tiba-tiba dapat perkhabaran yang mendiang sudah tiada lagi – Lee Chong Wei

1,151

Pemergian bekas pemain beregu negara iaitu mendiang Gan Teik Chai memberi kesan mendalam buat Datuk Lee Chong Wei kerana hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak berusia 12 tahun lagi ketika mereka bersama-sama  bermain badminton untuk mewakili negeri masing-masing.

Bagi Chong Wei sendiri yang menerima berita pemergian mendiang melalui panggilan telefon itu mengakui bahawa beliau terkejut dan tidak dapat menerima pada awalnya kerana baru beberapa minggu yang lepas mereka berhubung untuk bermain badminton bersama-sama.


“Dalam minggu lepas, saya menelefon beliau untuk bermain bersama-sama pada minggu ini. Tetapi kerana kesibukkan kami menangguhkan pada minggu hadapan. Dan tiba-tiba mendapat perkhabaran yang mendiang sudah tiada lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Penggalaman ketika bersama-sama dalam pasukan kebangsaan suatu waktu dahulu merupakan antara momen paling manis buat Chong Wei kerana mendiang banyak membantu dan memberi nasihat sewaktu mereka bermain dalam sebarang kejohanan.

“Menetap di hostel hampir lebih daripada 10 tahun dan berjumpa pada setiap hari suatu ketika dahulu dan bersama-sama pergi ke luar negara untuk mengikuti kejohanan banyak meninggalkan memori untuk saya.”

Chong Wei juga akan sentiasa mengenang jasa baik mendiang yang sebelum ini yang telah membantu ramai orang sekelilingnya serta akan memperingati kenangan ketika bersama mendiang sebelum ini dalam arena badminton.

“Kita takkan lupa jasa beliau yang pernah membantu orang ramai walaupun beliau sudah bersara dan hari ini ramai yang datang untuk memberi penghormatan terakhir.”

Beliau juga menegaskan bahawa pentingnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan terutamanya ketika usia yang sedang meningkat sebagai langkah berhati-hati untuk menjaga kesihatan diri.