BAM perlu cepat ‘move on’! Konflik dalaman hanya membazirkan waktu

819

Kemelut berpanjangan di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bekas jurulatih perseorangan remaja negara iaitu Datuk Misbun Sidek hanya akan membazirkan waktu sahaja.

Ini adalah berikutan skuad remaja negara yang akan menuju ke Kejohanan Remaja Dunia BWF 2023 kurang daripada sebulan lagi.


Dalam waktu yang semakin genting kini, ditambah pula dengan konflik yang sedang hangat diperkatakan pasti akan memberikan impak secara tidak langsung kepada persiapan skuad remaja khususnya pemain perseorangan remaja yang kini sedang mempersiapkan diri tanpa jurulatih rasmi lagi.

Dengan pengumuman kedudukan Misbun yang hanya akan didedahkan selepas kepulangan presidennya iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria itu nanti dari luar negara, semestinya semakin banyak waktu yang akan dipertaruhkan sebelum keputusan rasmi dapat dibuat mengenai kedudukan Misbun.

Sebelum ini, nama jurulatih dari China iaitu Li Yongbo menjadi antara calon yang dilihat paling sesuai untuk menggantikan tempat Misbun kerana mempunyai reputasi baik bersama skuad remaja China sebagai ketua jurulatih sebelum ini.

Li Yongbo juga mempunyai legasi sebagai seorang jurulatih juga pernah melahirkan pemain ternama dalam dunia badminton seperti Lin Dan, Chen Jin, Chen Long dan ramai lagi.

Oleh itu, penggalaman luas dalam melahirkan pemain berkualiti dunia pastinya mampu membantu pemain remaja negara.

Dalam pada itu, walaupun terlibat dalam program Road To Gold (RTG) sempena sukan Olimpik tetapi nama bekas pemain nombor satu negara iaitu Datuk Lee Chong Wei yang pernah dilatih oleh Misbun juga antara calon yang wajar dipertimbangkan untuk memulakan karier dalam kejurulatihan bersama skuad remaja.

Nama Chong Wei sebelum ini turut pernah dicanang untuk menggantikan tempat Wong Choong Hann sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan negara BAM.

Tambahan pula, sekiranya jurulatih tempatan yang akan mengisi jawatan itu pasti lebih mudah kerana sudah memahami selok-belok arena sukan badminton negara dan memudahkan komunikasi antara pemain dan jurulatih.

Walaubagaimanapun, BAM perlu mencari individu yang lebih berkredibiliti jika ingin menggantikan tempat Misbun yang telah meletakkan satu standard tinggi sepanjang melatih pemain perseorangan remaja negara yang akan bermain di kejohanan besar bermula September nanti.