Penyokong perlu siapkan mental saksikan Harimau Malaya yang berbeza bermula September ini

153

Bermula September ini, Harimau Malaya akan menjalani ujian sebenar apabila akan bertemu negara-negara di ranking yang jauh lebih tinggi sebagai persiapan ke Piala Asia 2023.

Bermula dengan perlawanan menentang Syria dan China, yang masing-masing di ranking 94 dan 80 FIFA, pada September ini, Malaysia seterusnya akan menghadapi Pestabola Merdeka pada Oktober yang menampilkan tiga pasukan jemputan iaitu India (99), Lubnan (100) dan Palestin (96).


Selepas lebih setahun di bawah bimbingan Kim Pan-gon, Malaysia menunjukkan peningkatan yang baik terutama dari segi ranking FIFA yang kini berada di tangga 136.

Para penyokong juga ketika ini sedang berada dalam mood yang baik selepas dua jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Mac dan Jun lalu.

Dalam 10 perlawanan terakhir, Malaysia mencatatkan lapan kemenangan dan dua tewas, iaitu dua kekalahan kepada Thailand dan Vietnam pada kejohanan Piala AFF.

Boleh dikatakan bahawa penyokong sudah ‘tidak biasa’ dengan kekalahan dan mengharapkan momentum ini terus dipersembahkan selepas ini.

Namun, perkara itu mungkin akan berubah bermula pada aksi persahabatan September ini.

Melihat kepada lawan-lawan yang bakal ditemui, ia adalah satu cabaran besar buat Pan-gon dalam meneruskan rentak kemenangan.

Namun, ia adalah perlu bagi membiasakan para pemain berdepan dengan lawan yang lebih kuat pada Kelayakan Piala Dunia 2026 dan  Piala Asia 2023 nanti, di mana Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Sekiranya Malaysia mencatakan kekalahan demi kekalahan atau aksi yang kurang memberangsangkan pada aksi persahabatan selepas ini, apa yang penting adalah penyokong harus terus berada di belakang pasukan.

Mungkin agak ‘janggal’ menyaksikan Harimau Malaya tidak mencatatkan kemenangan selepas beberapa kemenangan yang memberangsangkan dalam aksi persahabatan sebelum ini.

Namun, untuk memastikan Malaysia bersedia mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023, perlawanan menentang pasukan tersebut adalah amat penting.

Kekalahan pada aksi persahabatan tersebut juga mungkin memberi satu ruang untuk Pan-gon menilai aspek yang perlu diperbaiki dan pemain-pemain yang layak untuk membawa cabaran negara pada Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2023.

Justeru, walau apa yang berlaku pada perlawanan-perlawnan persahabatan akan datang, penyokong harus terus meletakkan kepercayaan ke atas Pan-gon.