Kelantan United FC berpeluang tolak abang turun liga musim depan

57

Jika situasi kekalahan demi kekalahan ini berterusan salah satu pasukan daripada negeri Kelantan itu perlu akur untuk turun ke Liga M3 musim hadapan.

Penghuni dasar Liga Super Malaysia kini yang masih tercungap-cungap untuk mencari rentak permainan dan kemenangan rasanya sudah boleh untuk bayangkan pasukan mereka disingkirkan ke Liga M3 namun bagi pasukan-pasukan yang berpengkalan di Kelantan iaitu Kelantan FC dan adik mereka Kelantan United FC sudah pasti mahu berebut keluar daripada zon penyingkiran.


Dengan pungutan 8 mata yang dikumpul oleh kedua-dua pasukan menunjukkan mereka dalam masalah yang besar apabila mereka dan Kuching City FC masih lagi tidak memecah angka 10 dan jika berterusan ia akan menjadi rekod paling buruk Liga Super yang mana dalam tempoh lima tahun terakhir tiada pasukan yang mengakhiri saingan mereka dengan satu digit mata sahaja.

Kelantan United sememangnya tidak berada di zon penyingkiran namun disebabkan mata mereka sama dengan Kelantan FC ia membuatkan kedudukan mereka sangat goyah dan bila-bila sahaja boleh jatuh ke lembah penyingkiran.

Namun jika dilihat melalui jumlah perlawanan selepas ini lebih memihak kepada Kelantan United apabila mereka baru sahaja bermain 19 perlawanan dan tujuh perlawanan yang berbaki membolehkan mereka menjarakkkan diri lagi tambahan bakal berdepan Kuching City yang sudah terperosok di bawah liga sejak awal musim.

Perjalanan agak sukar untuk Kelantan FC apabila bakal mengakhiri saingan Liga Super dengan menghadapi cabaran pasukan-pasukan gergasi seperti Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC.

Untuk rekod Kelantan FC hanya peroleh dua kemenangan dalam tempoh 20 perlawanan dan meskipun mereka berada di tangga kedua tercorot di atas Kuching City, The Red Warriors sudah dibolosi sebanyak 76 kali dan paling terbaru adalah apabila gawang gol mereka dirobek 8-0 oleh Terengganu FC.

Akan tetapi kedua-dua pasukan ini bakal bersaing sesama sendiri di perlawanan terakhir Liga Super dan sekiranya trend kekalahan mereka ini berterusan sehingga ke penghujung mungkin ini langkah yang terakhir untuk mereka keluar daripada zon penyingkiran.

Ketepikan segala permasalahan kelab dan fokus kepada permainan bagi mempertahankan kelab masing-masing untuk meneruskan saingan dalam Liga Super Malaysia musim hadapan.