AFC sah perkenal tiga kejohanan baru untuk musim 2024/25!

2,526

Dengan permintaan tinggi terhadap kejohanan lebih berprestij dan kompetitif di rantau Asia, pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya telah mengumumkan tiga kejohanan baru yang akan mula diperkenalkan untuk musim 2024/25.

Pengumuman mengenai pertambahan kejohanan itu sekaligus memberi nafas baru terhadap dua kejohanan terdahulu iaitu AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC yang dilihat sudah lapuk dan perlukan pembaharuan.


Tiga kejohanan yang akan diperkenalkan nanti adalah AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFC Challenge Cup (ACGL).

AFC tidak hanya memberi tumpuan kepada bola sepak lelaki sahaja, tetapi dengan peningkatan ketara bola sepak wanita di seluruh dunia ini juga menyaksikan badan induk bola sepak Asia turut memperkenalkan AFC Women’s Champions League (AWCL).

Dalam pada itu, untuk format pula akan menyaksikan sedikit perbezaan kerana untuk saingan ACLE hanya 24 kelab sahaja yang akan bersaing di mana ia akan dibahagikan kepada 12 pasukan iaitu Barat dan Timur yang akan bersaing format liga.

Setiap kelab akan bermain empat perlawanan home dan empat perlawanan away menentang lapan kelab berbeza dalam rantau tersebut, dengan hanya lapan kelab terbaik dari kedua-dua rantau iaitu sebanyak 16 pasukan akan mara ke Pusingan 16 yang akan dimainkan secara home dan away.

Lapan pemenang dari Pusingan 16 akan mara ke Suku Akhir, seterusnya Separuh Akhir dan Akhir yang akan bermain dalam satu perlawanan sahaja di venue berpusat.

Manakala, untuk ACL2 pula akan menyaksikan sebanyak 32 kelab akan dibahagikan kepada lapan kumpulan yang akan dihuni oleh empat pasukan setiap kumpulan.

Mereka akan bermain dengan format round robin secara home dan away dengan dua pasukan teratas akan mara ke Pusingan 16.

Untuk pusingan 16, Suku Akhir, Separuh Akhir akan dimainkan dengan format dua kali, manakala perlawanan akhir akan dimainkan satu perlawanan sahaja.

Sementara itu, untuk ACGL pula sebanyak 20 kelab akan dibahagikan kepada lima kumpulan yang mana kesemua perlawanan dimainkan sekali sahaja di venue berpusat dengan lapan kelab terbaik layak ke Suku Akhir.

Perlawanan Suku Akhir dan Separuh Akhir akan dimainkan dua pusingan iaitu home dan away dan perlawanan Akhir hanya satu perlawanan.

Penstrukturan semula kejohanan oleh AFC juga akan menyaksikan jumlah wang hadiah turut meningkat secara drastik di mana juara ACLE akan menerima wang hadiah sebanyak USD12 juta (sekitar RM55.69 juta).

Tidak hanya ACLE, dua lagi kejohanan iaitu ACL 2 dan ACGL turut akan memperlihatkan peningkatan jumlah wang hadiah dan pelbagai manfaat.