Wong Tat Meng kecewa dengan larangan BAM, Michelle Chai turun beri penjelasan

124

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dianggap semakin mengarut apabila meletakkan larangan memakai pakaian jenama sukan lain selain daripada penaja BAM buat pemain profesional yang akan menghadiri kem latihan berpusat mereka.

Wong Tat Meng yang sudah beberapa bulan melatih Lee Zii Jia menyifatkan keputusan yang dibuat oleh badan induk tersebut seolah-olah tidak profesional dan mereka terpaksa menolak jemputan BAM tersebut serta terbang terus ke Denmark.


Beliau membuat perkongsian di laman sosial Instagram miliknya kelihatan kecewa kerana sebelum ini BAM acap kali menjemput LZJ untuk datang menghadiri kem latihan bersama mereka.

Namun dalam kekeruhan tersebut, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai membuat klarifikasi di laman sosial twitter milik peribadinya memaklumkan bahawa BAM membenarkan para pemain menggunakan barangan tajaan mereka seperti kasut dan raket cuma baju sahaja perlu bebas daripada sebarang cap penaja.

“Pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM bebas menggunakan raket dan kasut daripada penaja mereka sendiri. Walau bagaimanapun, kami meminta agar mereka memastikan pakaian mereka bebas daripada penjenamaan pesaing,”

tulisnya di akaun twitter.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa langkah yang diambil BAM tersebut adalah untuk melahirkan semangat sepasukan antara pemain semasa berlatih bersama-sama yang mana bakal berjuang dalam kejohanan dunia di Denmark beberapa hari sahaja lagi.

Menerusi perngkongsian tersebut juga, Michelle yang bertugas dalam persiapan dan latihan para pemain BAM mengalu-alukan kedatangan para pemain dan jurulatih yang bukan BAM untuk datang ke ABM bagi membincangkan isu-isu sebegini.

“Kami berharap untuk terus mempunyai pemain, jurulatih dan pegawai bukan BAM di ABM seperti yang kami lakukan pagi ini bersama Joo Ven, Cheam dan jurulatih Nova. Sangat berterima kasih dan menghargai kefahaman mereka dalam perkara ini,”

Sebelum ini, terselit di dalam ciapan yang dikarang panjang oleh WTM, beliau merasakan mereka seperti dibuli oleh ‘orang besar’ apabila seolah-olah pemain-pemain yang tidak berada di bawah BAM ini senang diarah-arah mengikut kemahuan mereka.

Dalam perkongsian tersebut juga, LZJ hadir ke ruangan komen dengan menulis sindiran seakan menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh jurulatihnya itu.

“Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training (berlatih) pulak. Aishhhhh… susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening.”

komen LZJ.

LZJ pula dalam beberapa hari lagi akan menempuh laluan sukar apabila dijadualkan beraksi menentang pemain perseorangan Indonesia, Jonatan Christie dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark yang bakal berlansung bermula 21 Ogos ini.