Pergaduhan penyokong mencalarkan imej bola sepak tempatan

185

Penonton yang berkunjung ke stadium sudah pasti menginginkan suasana aman disebalik kerancakkan perlawanan ketika menonton namun insiden pergaduhan yang tercetus di dalam mahupun luar padang sudah semestinya merencatkan keseronokan selain boleh mendatangkan kesan buruk buat kelab kesayangan mereka.

Baru-baru ini tular video pergaduhan melibatkan penyokong pasukan Kedah Darul Aman FC dan juga Penang FC yang berlaku di luar perkarangan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang setelah keputusan perlawanan tamat memihak kepada Kedah FC 2-1.


Perkara ini sering terjadi dalam senario bola sepak baik di peringkat amatur mahupun profesional disebabkan wujudnya provokasi daripada kedua-dua belah pihak yang masing-masing tidak berpuas hati atas keputusan atau permainan yang dintonjolkan oleh pasukan kegemaran mereka.

Misalnya dalam video yang tular tersebut dilihat berlaku beberapa provokasi yang dilakukan oleh para penyokong sehinggakan mungkin mengguris hati atau boleh diibaratkan umpama mencabar sekelompok peminat dan akhirnya secara tidak rasional berlaku pergaduhan.

Situasi dan sikap sebegini bukan sesuatu yang perlu diterapkan terutama dalam kalangan penyokong fanatik yang hadir untuk menyokong dan mengharapkan keputusan positif daripada pasukan masing-masing.

Tambahan pula lokasi pergaduhan berlaku di kawasan stesen minyak yang sudah terang lagi bersuluh boleh mendatangkan bahaya baik kepada mereka dan juga pengunjung yang hadir di sekitar.

Bercerita mengenaik kecederaan sebelum ini juga ada beberapa kes pergaduhan di luar stadium yang mendatangkan kecederaan baik lelaki dewasa, wanita dan juga kanak-kanak.

Senario pergaduhan ini seharusnya dielakkan oleh para peminat bola sepak tempatan memandangkan telah banyak kes sebegini yang berlaku sebelum ini dan akhirnya kes jatuh ke tangan pihak polis sekaligus meninggalkan rekod buruk buat individu yang terlibat.

Bola sepak sepatutnya menjadi platform penyatuan buat para penyokong dan bukan sebagai peluang untuk melepaskan amarah antara satu sama lain.

Imej kelab juga bakal tercalar dek perilaku penyokong kelab yang tidak terkawal selain mungkin akan memdatangkan kesan buruk seperti dihukum beraksi tanpa penyokong.

Oleh yang demikian, para penyokong yang hadir perlu elakkan daripada melakukan provokasi-provokasi yang mampu mencetuskan pergaduhan selain mempunyai kesedaran bahawasanya segala yang dilakukan oleh mereka akan mendatangkan kemudaratan baik kepada mereka dan juga kelab.