Kita akan cuba mendidik mentaliti ibu bapa kaum India berkenaan masa hadapan bola sepak di Malaysia – Sri Devan

62

Penolong jurulatih pasukan Malaysian Indian Sport Council Sri Devan berterima kasih dengan pihak penganjur kejohanan Asian Grassroot Football Championship 2023 yang telah menyediakan satu platform yang baik untuk terus mengasah bakat pasukannya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana telah membuat satu pertandingan yang hebat. Kami akan terus melatih para pemain untuk masa hadapan mereka dalam sukan bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Devan juga komited untuk mengubah persepsi pemikiran para ibu bapa dari kaum India akan masa hadapan yang menjanjikan sekiranya anak mereka menceburi sukan bola sepak.


Dalam pada itu, beliau juga yakin persepsi ibu bapa pada bola sepak perlu diubah terlebih dahulu jika ingin terus memperkembangkan bakat yang ada pada pemain India di Malaysia dalam sukan bola sepak di masa akan datang.

“Banyak ibu bapa dari kaum India yang tidak mahu anak mereka menceburi bidang bola sepak adalah kerana mereka kekurangan pengetahuan pada asas sukan bola sepak serta tiada mentaliti bola sepak.”

Beliau juga komited aktiviti sukan perlu berjalan seimbang dengan pelajaran para pemain, malah sekiranya pemain diberikan peluang untuk bermain di luar negara semestinya dapat meyakinkan pemikiran ibu bapa akan masa hadapan anak mereka dalam sukan bola sepak.

“Kita akan cuba mendidik mentaliti ibu bapa kaum India berkenaan masa hadapan bola sepak di Malaysia dengan keseimbangan di antara pendidikan dan sukan bola sepak. Saya berharap selepas ini lebih banyak ibu bapa mahu anak mereka untuk menceburi bidang bola sepak ini.”