Penilaian terhadap program RTG perlu dilakukan lebih kerap

113

Sudah lima bulan berlalu sejak nama-nama atlet yang disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam tempoh tersebut, terdapat beberapa atlet yang terumbang-ambing prestasinya dalam kejohanan-kejohanan yang disertai mereka, menyebabkan kelayakan mereka untuk terus dikekalkan dalam program tersebut dipersoal.


Dua kriteria telah ditetapkan oleh KBS untuk tersenarai dalam program tersebut iaitu atlet yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik dan berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Namun, terdapat atlet yang sudah tidak memenuhi kriteria tersebut, justeru dilihat tidak layak untuk berada dalam senarai.

Penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam sebelum ini pernah berkata bahawa tempoh untuk penilaian atlet dalam program RTG yang sepatutnya dijalankan pada bulan ini dianjakkan kepada Oktober sejurus selepas tamat Sukan Asia di Hangzhou, China.

Daripada kesemua atlet yang berada dalam senarai, sebilangan daripadanya dilihat berada dalam kedudukan bahaya dan berpotensi digugurkan.

Bagaimanapun, tempoh lima bulan daripada tarikh pertama kesemua atlet disenaraikan dilihat satu tempoh yang sudah cukup lama untuk membuat penilaian.

Sepatutnya, penilaian dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi memastikan kesemua atlet yang disenaraikan tidak berasa selesa.

Jika mereka terus-menerus diberikan ‘talian hayat’, tiada motivasi untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Lagipun, Sukan Olimpik berbaki kurang setahun saja lagi, dan ia dilihat tempoh yang amat kritikal dalam misi meraih pingat emas pertama negara.

Pihak yang bertanggungjawab menyelaras program RTG harus bertegas dalam menapis atlet yang layak untuk disenaraikan kerana ia merupakan program yang menelan belanja yang besar.

Pastikan tiada lagi peluang kedua buat atlet yang sudah tidak memenuhi kriteria untuk disenaraikan, dan pastikan penilaian terhadap senarai program tersebut dilakukan dengan lebih kerap.