Sudah setahun tertunggak, ada pemain yang terpaksa bermain dengan gaji yang kecil – Stuart Wark

57

Bekas pemain Sarawak United, Stuart Wark maklum tunggakkan gaji bersama pasukan lamanya itu masih lagi belum selesai walaupun sudah memakan masa setahun lamanya.

Beliau yang baru menamatkan kontrak bersama pasukan Liga 2 Thai itu memaklumkan masih ada beberapa pemain yang sanggup tinggal dan bermain untuk Sarawak United meskipun ditawarkan gaji yang rendah demi kelansungan hidup untuk menyara keluarga mereka.


Stuart yang kini sudah mulakan karier sebagai jurulatih di salah satu akademi bola sepak remaja memaklumkan proses untuk menuntut semula tunggakkan gaji para pemain di Sarawak United mengambil masa yang terlalu lama sejak pertengahan tahun yang lalu.

“Sudah setahun tunggakkan gaji bersama pasukan Sarawak united dan ia merupakan satu tempoh yang lama, sebahagian pemain masih lagi bermain untuk Sarawak tetapi dengan gaji yang kecil disebabkan mereka mempunyai keluarga untuk disara,”

“Untuk saya sendiri saya beruntung kerana masih mampu namun tidak semua orang memiliki nasib seperti saya jadi kami akan terus berlawan untuk perkara ini tapi ia merupakan satu proses mengambil masa yang agak lama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau akui keadaan bola sepak di Malaysia kini agak parah terutama banyak pasukan yang mula menunjukkan masalah kewangan kelab yang kronik sehingga menyebabkan para pemain serta barisan kejurulatihan mengalami tunggakkan gaji.

“Kami masih ada group chat bersama untuk berbual dan berjenaka bersama namun ini satu isu yang memalukan untuk liga di Malaysia kerana ia berulang tahun demi tahun, kisah yang sama mungkin berlainan kelab bahkan kelab yang baru juga mempunyai masalah gaji,”

Dalam pada masa sama, Stuart turut berharap perkara ini dapat dibendung dan memohon agar badan berwajib seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) dapat memberikan perhatian yang lebih khusus tentang isu ini demi menyelamatkan maruah bola sepak Malaysia.

“Jadi saya FAM dan PFAM dapat membawa perubahan untuk banteras kes sebegini untuk kebaikan masa hadapan bola sepak di negara ini,”

Stuart yang pulang daripada Thailand April lalu memberitahu Perak FC pernah memanggilnya ke Ipoh Julai lalu namun setibanya beliau di sana tiada seorang pun menghubunginya dan beliau mengambil keputusan untuk pulang dan sehingga kini Stuart gembira dengan tugasnya sebagai seorang jurulatih.

“Saya dapat tawaran daripada Perak FC dan saya harus ada di Ipoh pada awal Julai lalu namun apabila saya di sana tiada yang hubungi saya jadi saya pun pulang, jadi tiada apa yang saya boleh lakukan kerana dalam bola sepak perkara ini kadang-kadang berlaku tetapi saya gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang.”

Beliau turut berkongsi tentang beberapa kelab yang cuba untuk menandatangani kontrak bersamanya namun ejennya tidak menghiraukan segala panggilan yang diterima sekaligus menghilangkan diri sehingga hari ini dan menyebabkan Stuart gagal mendapatkan mana-mana kontrak bersama mana-mana pasukan.