Pasukan MBSB Bank Championship yang mahu beraksi di Liga Super perlu bersiap sedia dari sekarang

107

Saingan Liga MBSB Bank Championship 2023 sudah hampir sampai ke penghujungnya dengan berbaki beberapa lagi perlawanan sebelum liga tamat.

Ketika ini, pasukan KL Rovers FC sedang memimpin carta liga dengan 46 mata, diikuti Harini FT dengan 40 mata danImigresen FC d tangga ketiga dengan 37 mata.


Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam sebelum ini berkata bahawa dua pasukan tercorot Liga Super musim ini boleh tersingkir ke saingan Liga M3.

Ini bermakna dua pasukan dari Liga MBSB Bank Championship berpeluang beraksi di Liga Super musim 2024 namun ia tertakluk kepada kelulusan pelesenan kelab pasukan terbabit.

Musim lalu, perlawanan play off antara pasukan juara dan naib juara Liga MBSB Bank Championship dengan dua pasukan terbawah Liga Premier 2022 untuk menentukan pasukan yang layak beraksi di Liga Super 2023 terpaksa dibatalkan.

Ia selepas pihak First Instance Body (FIB) mengesahkan bahawa antara tujuh pasukan Liga MBSB Bank Championship yang memohon lesen untuk beraksi dalam Liga Super 2023, iaitu PIB FC, Harini FT, BRM FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC dan Manjung City FC hanya dua pasukan iaitu PIB dan Harini yang menunjukkan perkembangan yang baik.

Namun, permohonan kedua-dua pasukan itu bagaimanapun disahkan tidak lengkap dan tidak memenuhi kriteria bagi mendapatkan lesen pada tarikh akhir permohonan.

Apa yang berlaku pada musim lalu itu harus dijadikan pengajaran oleh kelab-kelab Liga MBSB Bank Championship ketika ini yang berhasrat untuk beraksi di Liga Super musim depan, lebih-lebih lagi pasukan yang kini berada di kedudukan teratas yang berpeluang tinggi untuk beraksi dalam perlawanan play off.

Mereka perlu Bersiap sedia daripada sekarang lagi terutama dari segi kewangan dan persiapan dokumen untuk beraksi di Liga Super supaya tidak lagi timbul isu permohonan untuk mendapatkan lesen ditolak kelak.

Pastinya sayang usaha yang telah diberikan selama semusim akhirnya sia-sia begitu saja sekiranya permohonan untuk beraksi di Liga Super tidak diterima gara-gara dokumentasi yang tidak lengkap.

Ini juga merupakan satu peluang buat pasukan dari Liga MBSB Bank Championship untuk memeriahkan lagi arena bola sepak tempatan dengan beraksi di liga tertinggi negara.

Dengan lebih banyak pasukan yang tidak berasaskan negeri beraksi, ia akan mempelbagaikan lagi pasukan di saingan Liga Super dan boleh menjadi pemnagkin semangat buat pasukan-pasukan lain.

Dengan penyertaan lebih banyak pasukan yang tidak berasaskan negeri, satu hari nanti Impian untuk menyaksikan saingan Liga Super disertai oleh 18 atau 20 pasukan akan menjadi kenyataan.