Akmal Rizal beri bayangan ganti tempat E Elavarasan? satu pertaruhan besar oleh FAM jika benar

431

Selepas E Elavarasan meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih B-23 negara Isnin lalu, terdapat beberapa nama yang dikhabarkan bakal mengambil alih tugasan beliau.

Antara nama-nama tersebut adalah bekas pemain kebangsaan yang kini merupakan ketua jurulatih skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.


Khabar angin itu dikuatkan lagi dengan hantaran yang dilakukan oleh pemain itu di media sosialnya pada hari ini yang menunjukkan beliau hadir ke Wisma FAM.

Baru-baru ini, timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata bahawa pengumuman mengenai pengganti Elavarasan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Jika khabar angin yang di media sosial benar, mungkin pasukan B-23 negara akan dikendalikan oleh jurulatih berusia 41 tahun itu.

Dalam saingan Piala MFL 2023, beliau membawa skuad Penang menduduki tangga kelima kumpulan A.

Seorang pemain yang berjaya menyinar di bawah kendaliannya adalah Alif Ikmalrizal yang turut terpilih dalam skuad B-23 negara ketika kelayakan Piala Asia B-23 baru-baru ini.

Sekiranya beliau dilantik menjadi jurulatih skuad B-23 negara, ini boleh dianggap sebagai satu pertaruhan daripada FAM.

Berdasarkan prestasinya pada Piala MFL 2023, mungkin ia tidak begitu memberangsangkan namun mungkin ia kedudukan terbaik yang boleh beliau raih dengan skuad yang dimilikinya.

Siapa pun yang dilantik, sudah tentu peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat ketua jurulatih skuad B-23 baharu membawa pasukan itu mengikut kecemerlangan yang ditunjukkan oleh skuad senior ketika ini.