Saya tidak akan mengaku kalah kerana kita ada 180 minit untuk dimainkan menentang JDT – Yusri Che Lah

1,480

Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah tidak mahu mengaku kalah terlalu awal untuk berdepan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan seterusnya di pusingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menumpaskan Sabah FC malam ini.

“Kita kena 10-0 dalam saingan Liga Super Malaysia dan saya tidak akan mengaku kalah kerana kita ada 180 minit untuk dimainkan walaupun semua orang tahu jurang antara kita terlalu jauh tetapi saya dan para pemain akan tetap mencuba,”

katanya.

Yusri yang sebelum ini turun mengantikan posisi Datuk Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad seladang amat berterima kasih atas sokong pihak pengurusan dan para pemain yang tidak berputus asa untuk terus mara dalam saingan Piala Malaysia kali ini.


“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan atas kepercayaan selama empat bulan lebih mengendali pasukan ini dan para pemain juga bermain baik yang mana hari ini mereka beri lebih daripada seratus peratus di atas padang,”

Perak yang turun dengan kesebelasan utama mereka diasak hebat oleh Sabah sejak awal perlawanan namun dengan kesungguhan yang ditonjolkan para pemain, akhirnya Wan Zack Haikal menjadi wira apabila meledak gol tunggal dalam perlawanan malam ini sekaligus keputusan berakhir dengan agregat 3-2 berpihak kepada Perak.

Dalam kerancakkan perlawanan ini, Aiman Yusni yang memakai jersi nombor 40 antara pemain muda yang menyerlah dan menurut Yusri sendiri beliau bangga dengan prestasi yang ditonjolkan olehnya dan berharap pemain tersebut terus berbakti buat skuad seladang.

“Saya sebagai seorang jurulatih sahaja yang bertugas memberikan arahan, Aiman ini saya bawa daripada B-23 lagi sejak awal musim dan saya harap beliau dapat terus memberi sumbangan kepada kita,”

“Beliau merupakan orang Kuala Kangsar, Perak dan dulu katanya seorang mat rempit tapi hari ini dia merempit atas padang jadi saya terima.”