Terima kasih jurulatih Yusri Che Lah kerana sudi untuk bimbing kami – Wan Zack Haikal

499

Penjaring gol tunggal perlawanan Perak FC menentang Sabah FC, Wan Zack Haikal akui kehadiran Yusri Che Lah sememangnya memberikan impak yang besar dalam perjalanan skuad seladang yang berliku-liku sejak awal musim ini.

Wan Zack yang ditemubual memberitahu bahawa prestasi mereka sekarang ini kesemuanya adalah atas usaha dan bimbingan jurulatih Yusri Che Lah yang berjaya membawa mereka sehingga melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.


“Bagi saya beliau memberikan impak yang besar kepada pasukan Perak kerana seperti yang semua sedia maklum kami agak perlahan ketika di awal musim namun sekarang siapa sangka kita telah mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia,”

“Terima kasih kerana beliau sudi untuk membimbing kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Wan Zack yang menjaring gol tunggal perlawanan sebelum tiupan wisel penamat babak pertama menyifatkan para pemain yang bersamanya di atas padang sebentar tadi telah melakukan sehabis baik untuk menjayakan jaringan tersebut sekaligus menumpaskan Sabah.

“Bagi saya itu merupakan rezeki saya untuk menjaringkan gol dan saya rasa pemain-pemain yang beraksi pada malam ini mereka adalah yang terbaik serta memberikan 100% komitmen,”

Beliau yang menjadi tonggak senior dalam pasukan Perak menganggap ia sebagai satu amanah untuk memacu pemain-pemain muda yang dilihat semakin hari semakin bertambah baik.

“Bagi saya jika diberikan amanah, InshaAllah kita perlu berikan yang terbaik dan bagi saya menjadi pemain senior ini bukan satu tekanan kerana pemain-pemain muda yang ada sekarang dalam pasukan Perak, mereka sudah buktikan peningkatan dari semasa ke semasa.”