Saya teruja dapat menentang pemain-pemain Malaysia dalam pasukan Sabah FC – Aiman Yusni

493

Pemain pertahanan muda Perak FC, Aiman Yusni akui rasa sangat teruja apabila berdepan dengan pemain Sabah FC yang rata-ratanya merupakan tonggak penting dalam skuad Harimau Malaya.

“Saya rasa teruja apabila dapat bermain menetang pemain-pemain Malaysia yang berada dalam pasukan Sabah FC,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Aiman yang bermain dengan sangat baik malam ini sememangnya membuka mata ramai pihak apabila setiap Gerakan yang dipamerkan atas padang menunjukkan bahawa beliau seorang pemain muda yang berbakat.


Pemain asal Kuala Kangsar, Perak itu telah diserap masuk ke skuad senior Perak FC oleh jurulatih Yusri Che Lah dan menyifatkan Yusri sebagai orang yang paling dipercayai untuk membawanya lebih jauh dalam sukan bola sepak ini.

“Ini rezeki saya dapat berikan persembahan sebegini dan ini juga disebabkan doa ibu bapa saya,”

“Alhamdulillah coach Yusri memang jaga saya daripada di peringkat B-23 lagi, saya percaya setiap apa yang beliau lakukan kepada saya,”

Perak yang berjaya menumpaskan Sabah di laman sendiri malam ini telah membuka peluang untuk skuad seladang mencipta kejutan sekali lagi bagi menumpaskan pasukan Johor Darul Ta’zim.

Aiman yang baru sahaja berumur 21 tahun berazam untuk  berjuang sehabis baik bersama pasukannya untuk memberi saingan kepada juara 10 kali Liga Super Malaysia itu.

“Semua orang tahu JDT sebuah pasukan yang berbeza daripada pasukan-pasukan lain tetapi kami akan cuba buat sehabis baik,”

Beliau turut mengucapkan terima kasih buat semua penyokong Perak FC yang hadir memenuhkan Stadium Ipoh pada malam ini dengan jumlah kehadiran sebanyak 14 ribu penonton.