JDT akan kembali lebih kuat musim depan, pasukan lain boleh pilih mahu terus lihat atau kejar

2,879

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super kesepuluh berturut-turut selepas menewaskan PDRM Rabu lalu telah terpahat dalam bola sepak Malaysia.

Dominasi yang dilakukan oleh kelab itu kemungkinan besar tidak mampi diulangi oleh mana-mana pasukan lagi selepas ini.


Bukan sahaja kejuaraan buat kali kesepuluh berturut-turut menjadi bualan, tetapi bagaimana pasukan itu memecahkan pelbagai rekod termasuklah rekod tanpa kalah, rekod jaringan dan lain-lain lagi.

Walaupun dominasi JDT dilihat tidak akan mampu dipecahkan oleh mana-mana pasukan dalam masa terdekat ini, pemiliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat mempunyai cita-cita yang lebih tinggi untuk pasukan itu pada musim hadapan.

Dalam satu hantaran Instastory, baginda menjangkakan bahawa JDT akan menjadi pasukan yang lebih kuat lagi pada musim hadapan.

Jika dilihat pada prestasi JDT musim ini, mereka tidak tewas dalam mana-mana perlawanan domestik, hanya seri sekali dalam saingan Liga Super menentang Kedah Darul Aman.

Dengan skuad ketika ini pun sudah sukar untuk digugat mana-mana kelab tempatan, bayangkan bagaimanakah kekuatan yang akan JDT pamerkan pada musim hadapan?

Sudah tentu sekiranya pasukan-pasukan lain terus berada di tahap sedia ada, bayangan saingan Liga Malaysia untuk musim hadapan boleh dikatakan sudah dapat dijangka dengan mudah.

Apa yang dikatakan oleh TMJ itu boleh dilihat sebagai satu amaran buat pasukan-pasukan lain bahawa JDT tidak merancang untuk berhenti, dan akan terus bergerak ke hadapan meninggalkan pasukan-pasukan lain.

Apa yang boleh dilakukan oleh pasukan-pasukan lain adalah untuk mengejar, sama ada dengan pantas atau perlahan, ia terpulang kepada cita-cita sendiri.