MOTM! Bekas midfield Kawasaki Frontale Reo Hatate menyinar di Celtic

190

Bekas pemain Kawasaki Frontale, Reo Hatate sekali lagi menjadi perhatian peminat bola sepak apabila beliau diumum sebagai man of the match dalam debutnya bersama pasukan Celtic.

Walaupun tidak menjaringkan gol seperti rakan senegaranya Daizen Maeda yang membuka jaringan seawal minit keempat untuk memastikan Celtic berada di hadapan ketika menentng Hibernian, namun persembahan yang ditampilkan Hatate sepanjang 75 minit di atas padang nyata telah memukau peminat.


Dalam perlawanan tersebut Celtic berjaya mengutip tiga mata apabila menumpaskan Hibernian 2-0.

Pemain tengah berusia 24 tahun itu telah membuktikan bahawa beliau mempunyai kemampuan teknikal untuk terus berjaya bersama Celtic dan bersaing di Liga Scotland.

Jurulatih Celtic, Ange Postecoglou turut memberi pujian melambung kepada anak buahnya.

Sumber foto: Celtic FC IG

“Apabila anda mengenalinya, beliau seorang pemuda yang sangat menakjubkan. Beliau telah memperlihatkan dirinya berada pada tahap terbaik.

Tetapi beliau pasti mahu lagi. Itulah karakter dan personalitinya. Dia tidak hanya mahu menjadi pemain biasa tetapi mempunyai cita-cita untuk jadi pemain terbaik. Anda sudah lihat kualiti yang ada padanya malam ini. Apa yang pasti, banyak lagi perkara baik yang akan datang daripadanya,”

ujarnya yang dipetik dari Thecelticbhoys.

Nampaknya percaturan Postecoglou untuk membawa masuk pemain dari Kawasaki Frontale membuahkan hasil dan ini sekaligus memberi amaran awal kepada juara lapan kali Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini kerana JDT yang bakal beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini telah diundi dalam kumpulan I bersama juara J-League, Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dan pemenang play-off diantara Ulsan Hyundai FC atau pun Port FC.

Sumber foto: ACL Facebook

Walaupun bakal berdepan saingan sengit dalam kumpulan I, namun JDT diramal tidak akan berdepan masalah besar untuk melepasi peringkat kumpulan sebagai naib juara kumpulan.

Untuk memastikan JDT mampu mara ke pusingan kalah mati, mereka harus mengutip mata semaksimum yang mungkin apabila menentang Guangzhou dan Ulsan Hyundai atau Port nanti untuk mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat seterusnya.

Walaupun skuad kendalian Benjamin Mora mempunyai barisan pemain hebat termasuk baru sahaja menandatangani pemain dari Serie A iaitu Fernando Forestieri untuk mempertajamkan barisan serangan, namun mereka diramal sukar untuk mengatasi kualiti yang ada pada Kawasaki Frontale.

Bagaimanapun dalam dunia bola sepak, apa sahaja boleh berlaku jadi kita tunggu sahaja apa yang akan terjadi nanti.

Semoga kejayaan berpihak kepada JDT kerana ia bukan sahaja akan melonjakkan nama pasukan dari seltan itu sahaja sebaliknya turut mengharumkan nama Malaysia.