Anda akan lihat Malayan Tigress yang lebih baik daripada sekarang – Soleen Al-Zou’bi

95

Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al-Zou’bi percaya kejayaan meraih tempat ketiga dalam saingan Women’s International Friendly adalah satu permulaan kepada sesuatu yang besar buat pasukan itu.

Katanya, Malayan Tigress mendapat banyak faedah serta pengalaman yang berharga daripada kejohanan itu yang akan menjadi pemangkin untuk menjadi lebih baik.


“Saya gembira kami memenangi tempat ketiga, ini adalah keputusan yang baik untuk kejohanan antarabangsa pertama skuad ini, kita dapat banyak faedah dan pengalaman di sini yang boleh digunakan untuk masa hadapan.

Sekarang ini kita perlu bekerja lebih keras, saya jangkakan anda akan lihat Malayan Tigress yang lain daripada sekarang selepas ini, kita akan pergi lebih jauh,”

katanya.

Malaysia meraih tempat ketiga selepas menewaskan Arab Saudi hasil jaringan Steffi Sarge Kaur.

Dalam pada itu, pemain, Nur Lyana Soberi bersyukur apabila Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol pada kejohanan itu.

“Saya sangat gembira kerana kami sahaja tahu betapa susahnya untuk mendapatkan gol, bukan kami tidak usaha tetapi tiada rezeki.

Hari ini kami buktikan bahawa kami mampu untuk menjaringkan gol, dan rezeki kami untuk meraih kedudukan ketiga.”

Beliau melihat skuad negara kini semakin baik sejak kali pertama beliau menyarung jersi kebangsaan, dan berharap selepas ini akan ada banyak lagi peningkatan.

Sementara itu, penjaga gol negara, Azurin Mazlan yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan berkata, beliau tidak menyangka akan dipilih untuk memenangi anugerah itu.

“Saya memang tak tahu ada anugerah individu, saya cuma hadir ke sini untuk menjadi lebih baik.

Saya bangga kerana ia adalah satu perjalanan yang sukar buat diri saya, bagi saya anugerah ini bukan disebabkan saya saja tetapi juga rakan-rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan yang banyak membantu.”

Beliau tidak mahu berasa selesa selepas memenangi anugerah itu, sebaliknya tekad untuk terus meningkatkan tahap permainannya.