Harap lebih ramai wanita terlibat dalam usaha memperkasakan bola sepak wanita di Malaysia

57

Sejak kebelakangan ini, usaha untuk membangunkan bola sepak wanita di negara ini dilihat semakin bertambah lebih-lebih lagi dengan pelantikan Soleen Al-Zou’bi sebagai ketua jurulatih skuad wanita kebangsaan.

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menganjurkan satu Kursus Pembangunan Liga FIFA/FAM selama tiga hari yang dihadiri seramai 20 peserta terdiri daripada ketua jurulatih dan jurulatih pasukan bertanding di Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, jurulatih sekolah sukan serta jurulatih terpilih dari persatuan bola sepak.


Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika menghadiri majlis penutup kursus itu berkata beliau mahukan lebih ramai lagi pasukan bola sepak wanita dibentuk pada masa hadapan.

Ini adalah satu perkara yang baik dalam memastikan bola sepak wanita di negara ini lebih kompetitif, sekaligus meningkatkan lagi tahapnya.

Namun, ia juga haruslah disertai dengan penglibatan oleh ramai wanita, terutama dalam pengurusan dan barisan kejurulatihan.

Berdasarkan gambar kursus itu yang dimuat naik oleh FAM, agak menyedihkan apabila melihat penglibatan lelaki lebih ramai berbanding wanita.

Mungkin FAM boleh melakukan sesuatu supaya dapat menggalakkan lagi penyertaan wanita dalam sukan bola sepak, bukan sahaja sebagai pemain tetapi juga barisan kejurulatihan, teknikal, pengurusan dan lain-lain.

Jika dilihat berdasarkan mentaliti masyarakat sekarang, makin ramai yang sudah menyambut baik penglibatan wanita dalam sukan bola sepak, justeru alangkah baik sekiranya lebih ramai wanita yang terlibat di bahagian kejurulatihan serta pengurusan.

Malaysia sudah mengambil satu langkah ke hadapan dalam memperkasakan wanita dalam bola sepak apabila menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan ketua jurulatih wanita pada Sukan SEA 2023 lalu.

Jadi, dengan usaha yang lebih lagi, tidak mustahil lebih ramai ketua jurulatih wanita akan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kelab-kelab bola sepak wanita tempatan.