Kekal positif dan rela membantu pasukan niat utama pemain MUFT dan Sabah di LWN

134

Pemain Malaysian University Eva Olivianie Antinus dan juga pemain Sabah Usliza Usman memanjatkan ucap syukur mereka berdua ke atas perlawanan akhir Liga Wanita Nasional (LWN) yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada malam Sabtu.

Eva berkata beliau bersama pasukannya tetap akan ‘berjalan terus’ dan kekal fokus untuk musim hadapan meskipun tidak berjaya memenangi perlawanan itu.


Beliau tetap berbangga dengan prestasinya dan melihat ianya suatu proses untuk membaiki cara permainannya di atas padang.

“Bagi saya saingan yang sebenar adalah diri saya sendiri. Saya tidak menganggap teman-teman seperjuangan saya sebagai suatu perbandingan.”

Ujarnya kepada pihak media.

Eva sempat meluahkan tentang kerjasama erat serta komunikasi yang jelas antara pemain-pemain yang lain adalah antara perkara yang digemarinya tentang pasukannya.

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pihak pengurusan yang terlibat.

Situasi tidak kurang hebatnya buat Usliza yang juga lebih mesra dikenali dengan panggilan Togo, atas kemenangan ‘Man of the Match’ perlawanan pusingan akhir itu.

Kegembiraan jelas terpancar diwajahnya dengan pemilihan itu kerana beliau merasakan ada pemain yang lebih baik.

“Jujur saya tidak pernah merasai kejuaraan bersama pasukan Sabah, inginkan pula untuk terpilih sebagai ‘Man of the Match’. Saya yakin ramai lagi pemain yang bagus bermain.”

Apabila disoal tentang minat beliau untuk menyertai skuad wanita kebangsaan, Usliza berkata beliau akan melihat kepada keadaan kesihatannya yang masih memerlukan rawatan susulan.

Usliza menambah meskipun masih mempunyai kecederaan, penampilannya bersama pasukan Sabah malam itu adalah kemahuan dirinya sendiri.

“Insha Allah, sekiranya diberikan peluang, saya masih ingin bersama pasukan Sabah dan membantu pasukan ini.”

Perlawanan akhir liga itu menyaksikan keputusan seri 1-1, namun kemenangan memihak pasukan Sabah atas dasar perbezaan jaringan gol didalam kedudukan secara keseluruhannya.