Banyak pasukan di Liga M3 bersedia ke Liga M2 (Liga Perdana) jika ia diperkenalkan semula – Raimi Fakri

219

Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri yakin kebanyakan kelab-kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3 bersedia untuk naik ke Liga M2 (Liga Perdana) sekiranya ia diperkenalkan semula.

Raimi bagaimanapun berkata ia tetap akan bergantung kepada kriteria yang akan ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).


“Bergantung kepada kriteria yang ditetap oleh MFL. Untuk permulaan jika pasukan kita (Liga M3), banyak pasukan yang bersedia jika Liga M2 atau Liga Perdana diperkenalkan semula kelak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai peluang untuk pasukan yang beraksi di Liga M3 untuk naik ke liga profesional selepas berjaya menang.

Ini kerana ketika ini sudah dua musim tiada pasukan yang berjaya naik ke Liga Super walaupun sebelum ini dikatakan juara Liga M3 akan naik secara automatik ke Liga Super dan satu lagi pasukan akan bermain play-off.

Bagaimanapun tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh MFL menyebabkan pasukan yang mendapat slot tidak mendapat Lesen Kebangsaan untuk bermain di Liga Super.

Pada musim lalu MFL telah melakukan penstrukturan Liga Malaysia dengan memansuhkan saingan Liga Perdana buat sementara waktu.

Mungkin dengan pengenalan semula Liga Perdana yang mungkin akan dijenamakan kepada Liga M2, ia akan memberi ruang dan peluang kepada pasukan yang berada di Liga M3 untuk naik ke liga lebih tinggi tanpa ‘terkejut’ dengan peningkatan besar bajet pasukan.

Dalam pada itu, Raimi turut meluahkan rasa bersyukurnya apabila saingan Liga M3 pada musim ini berjalan dengan lancar, malah cukup mengujakan apabila juara liga hanya diketahui pada perlawanan terakhir.

“Dengan perubahan format pada musim ini setiap pasukan mendapat banyak perlawanan dan pengakhiran juga sangat dramatik yang mana perebutan juara diantara tiga pasukan iaitu KL Rovers, Imigresen FC dan Harini FT.

Apa pun tahniah diucapkan kepada Imigresen FC atas kejayaan menjadi juara di saat-saat akhir.”

Untuk musim 2024, beliau memberitahu sebanyak 14 pasukan akan kekal bersaing dengan dua pasukan tercorot musim ini akan tersingkir dan dua pasukan teratas dari Liga M4 akan naik ke Liga M3.

Dua pasukan tersingkir adalah Sarawak United FC dan Naga Ultimate KS FC, manakala dua pasukan yang naik adalah UiTM United FC dan YPM FC.

Sementara itu, Raimi turut menjelaskan mengenai kontroversi membabitkan pengenalan pemain import dalam saingan liga semi-profesional pada musim depan.

Beliau berkata, perkara itu sememangnya sudah dibincangkan tetapi masih belum mempunyai keputusan rasmi.

“Kalau ikutkan memang kita ada perancangan yang mana kita buat penetapan kriteria-kriteria untuk pemain import, cuma bagi saya liga untuk tahun depan masih ada masa, masih lagi panjang dan belum ada keputusan rasmi lagi.”

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen