Akmal Rizal mampu kembalikan kegemilangan Penang FC

184

Semua sedia maklum dengan situasi yang berlaku dengan pasukan Penang FC yang bergelut dalam saingan Liga Super musim ini apabila sekadar berada di kedudukan ke-11 liga selepas 23 perlawanan.

Berikutan itu, pihak pengurusan Penang telah mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt dan penolong ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid sehingga tamat saingan liga susulan prestasi teruk pasukan.


Skuad Harimau Kumbang itu akan dikendalikan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk baki tiga perlawanan Liga Super.

Ia merupakan satu tindakan drastik dan tepat dilakukan oleh pengurusan kelab kerana Akmal Rizal yang merupakan bekas penyerang terkemuka negara sebelum ini turut mempunyai pengalaman sebagai jurulatih.

Bagi yang mengikuti perkembangan beliau pastinya sudah tahu akan kejayaan beliau pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu apabila mencipta sejarah berjaya membawa skuad SUKMA Pulau Pinang mara ke perlawanan akhir.

Ia akan menjadi cabaran yang cukup besar buat beliau kerana baki tiga perlawanan Penang akan menyaksikan mereka akan bertemu dengan pasukan gergasi iaitu Sri Pahang FC pada 26 November, Terengganu FC pada 3 Disember dan perlawanan terakhir menentang juara Liga Super 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim pada 17 Disember.

Sekiranya beliau mampu melakukan kejutan dengan mengutip sekurang-kurangnya empat mata dari tiga perlawanan tersebut, mungkin khidmat beliau akan terus ditagih pada musim hadapan.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Penang juga nyata gembira dengan pelantikan Akmal Rizal sebagai pengendali sementara kerana percaya dengan kemampuan beliau untuk ‘menyelamatkan’ pasukan itu dari terus lemas.