Kita dah capai objektif untuk bekalkan pemain muda kepada skuad utama Terengganu FC – Hairuddin Omar

464

Ketua jurulatih Terengganu FC II, Hairuddin Omar menganggap bahawa beliau dan juga barisan kejurulatihan pasukan sudah berjaya mencapai objektif untuk menyediakan pemain-pemain muda berbakat buat skuad utama Terengganu.

Katanya, terdapat ramai pemain daripada skuad itu yang sudah berjaya dipanggil menyertai Terengganu dan beliau melihat akan ada lebih ramai lagi pemain yang boleh diserap ke dalam pasukan utama.


“Saya rasa kita sudah capai objektif di TFC II di mana kita sasarkan untuk bekalkan seberapa ramai pemain muda untuk pasukan utama, mungkin ada beberap lagi pemain yang boleh dibekalkan.

Kita ada Muslihudin Atiq, Farizs Rifqi, Syahmi Zamri, Nur Azfar dan juga Ubaidullah yang saya rasa dah boleh rancang karier dia untuk Liga Super,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam perlawanan akhir Piala MFL 2023.

Hairuddin mengakui sedikit gugup ketika awal permainan namun berubah menjadi yakin selepas melihat aksi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya di atas padang

“Ini adalah kali pertama saya menjadi ketua jurulatih, pada awal perlawanan saya ada rasa sedikit gugup kerana ini adalah pengalaman baharu buat saya.

Tetapi pemain berjaya berikan saya keyakinan apabila melihat aksi mereka dan saya saya dapat rasakan bahawa kita akan dapat cipta sesuatu malam ini.”

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili yang merupakan pemain terbaik perlawanan mahu menjadikan kejayaan menjulang Piala MFL sebagai motivasi untuk cuba menewaskan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia.

Katanya, mereka sudah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dengan menewaskan JDT II yang merupakan sebuah pasukan yang kuat.

“Saya mesti gunakan kejayaan pada malam ini untuk dijadikan sebagai motivasi bagi perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kita tahu JDT adalah sebuah pasukan yang kuat, sama juga pada malam ini dan kita sudah buktikan tiada apa yang mustahil, hanya perlu disiplin dan buat yang terbaik,”

Katanya, anugerah tersebut adalah hasil bantuan rakan-rakan serta jurulatih yang sentiasa mempercayainya.

Ubaidullah menganggap bahawa kariernya yang kini sedang meningkat naik adalah satu rezeki dan mahu membalas segala kepercayaan yang diberikan.