Tambah lagi siaran perlawanan di televisyen, boleh tak KKD, KBS buat sesuatu demi fans?

417

Alangkah seronoknya jika kita semua mampu menonton setiap aksi dan gerak-geri skuad Harimau Malaya di saluran penyiaran tanpa perlu melanggan? 

Rata-rata rakyat Malaysia sudah dikenali dengan semangat juang serta patriotisme mereka dalam arena sukan, lebih-lebih lagi kepada bola sepak. 


Meski tidak ramai yang mampu hadir ke stadium memberikan sokongan penuh, tidak semua juga mampu walau hanya menonton aksi hebat pasukan kebangsaan di kaca televisyen. 

Ini kerana siaran langsung perlawanan mereka tidak semuanya ditayangkan di saluran penyiaran yang semua orang miliki.

Sehinggakan, tayangan skrin besar perlu menjadi alternatif utama bagi para penyokong tegar sama-sama berkumpul, bersorak dan mengibarkan jalur gemilang tanda sokongan.

Ada juga yang terpaksa memanfaatkan ‘link haram’ untuk menonton perlawanan bola sepak yang pastinya dilarang oleh ramai pihak.

Bolehkah sekiranya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru dan menyokong syarikat penyiaran utama negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menambah lebih banyak tayangan perlawanan bola sepak dan juga sukan lain demi peminat seluruh negara di setiap ‘medium’ sukan mereka? 

Hal ini kerana tidak semua di antara kita yang mampu melanggan siaran dari syarikat lain setiap bulan serta mendapat pencapaian internet yang baik, meskipun ia dapat ditonton melalui telefon bimbit di RTM Klik. 

Walaupun mereka memiliki saluran sukan tersendiri yang dinama RTM Sports (Sukan RTM), ianya pasti lebih baik jika saluran yang lain juga seperti TV2 dan TV Okey dapat menyiarkan slot perlawanan setiba harinya. 

Menambah lagi beberapa saluran sukan dari RTM juga akan membantu peminat tegar serta seluruh rakyat Malaysia demi menyokong pasukan negara.

Sudah pasti jumlah penggemar sukan negara akan turut bertambah dengan wujudnya lebih banyak siaran perlawanan, wawancara eksklusif pemain, video-video di belakang tabir sesuatu kejohanan di RTM, seperti apa yang dilakukan saluran siaran persendirian yang lain. 

Ianya akan lebih menarik minat mereka, lebih-lebih dikalangan anak muda yang fanatik dengan sukan. 

Bukan itu sahaja, trafik siaran buat syarikat penyiaran itu juga turut akan meningkat secara mendadak oleh sebab bilangan ‘stream’ saluran sukan yang amat tinggi. 

Semua rakyat Malaysia juga inginkan peluang untuk menonton dan ‘track’ pasukan serta pemain kegemaran mereka dari masa ke masa.

Perasaan dan kondisi kemampuan mereka perlu dititikberatkan dalam isu ini kerana tidak dinafikan lagi bahawa sokongan, semangat serta suntikan motivasi dari mereka pastinya akan berjaya mendorong kemenangan buat skuad negara. Malaysia Boleh!