Bagi saya ranking dunia tidak membawa makna – Dion Cools

742

Pemain pertahanan kebangsaan, Dion Cools berpandangan kedudukan ranking dunia tidak membawa sebarang makna ketika ini kerana pasukan kebangsaan Malaysia sudah membuktikan mereka mampu menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.

“Bagi saya ranking dunia tidak membawa makna kerana kita sudah tewaskan pasukan yang berada di ranking 30 atas kita dan berjaya seri dengan pasukan yang berada di kedudukan 40 lebih tinggi daripada kita.

Setiap perlawanan kita perlu hormat pasukan lawan kerana mereka mungkin dapat tewaskan kita jadi kita perlu rendah diri tapi pada masa sama kami perlu percaya pada diri sendiri yang kami mampu tewaskan mereka,”

katanya.

Terdahulu pada perlawanan pertama Kumpulan D, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 skuad Harimau Malaya telah berjaya melakukan kebangkitan yang cukup dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila berjaya menewaskan Republik Kyrgyz 4-3 pada Jumaat lalu.


Skuad negara kini kembali menjalani latihan sebelum terbang pada Ahad bagi mengharungi perlawanan kedua menentang Taiwan pada 21 November.

Dalam pada itu, pemain kacukan Malaysia-Belgium ini turut berkata mereka tidak akan berdepan masalah walaupun bermain di tempat lawan kerana mempunyai rekod yang baik sebelum ini.

“Kita sudah buktikan pada September lalu apabila kita bermain di China apabila berjaya seri dengan pasukan tuan rumah dan juga seri dengan Syria jadi saya tidak bimbang dengan perkara ini.

Apabila di padang nanti 11 pemain menentang 11 pemain, jadi apa yang penting adalah kami buat yang terbaik nanti.”

Sementara itu, beliau turut berkata tekanan daripada pihak luar tidak akan menjejaskan langsung pasukan kerana mereka fokus pada pasukan sendiri.