Kelantan FC boleh hantar permohonan untuk main di Liga M3 musim depan, tapi belum tentu AFL akan beri slot

200

Pada sidang media First Instance Body (FIB) Berkenaan Keputusan Pelesenan Kelab Liga Super & Kelab AFL M3 telah menyaksikan kelab Kelantan FC tidak hanya dikenakan denda RM20,000 tetapi juga belum mendapat Lesen Kebangsaan untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Kelantan bagaimanapun masih berpeluang untuk mendapat Lesen Kebangsaan sekiranya mereka berjaya menyelesaikan masalah dan menyerahkan bukti tunggakan gaji pemain dan pegawai atau persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 30 November ini.


Tidak hanya itu, kelab berpengkalan di Pantai Timur itu juga perlu menghantar surat deklarasi yang membuktikan bahawa mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 beserta penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember 2023.

Sekiranya kelab itu gagal menyelesaikan masalah ia bermakna Kelantan tidak akan beraksi di Liga Super musim depan dan sekiranya mereka masih mahu terus berada dalam kancah bola sepak tanah air mereka mungkin akan cuba bermain di liga semi-profesional Liga M3.

Musim lalu dua kelab dari Liga Super yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan iaitu Melaka FC dan Sarawak United FC telah beraksi dalam saingan Liga M3 musim 2023.

Bagaimanapun untuk Kelantan, ia tidak semudah seperti musim lalu kerana Ketua Pegawai Operasi (COO) Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri berkata kelab itu boleh menghantar permohonan tetapi belum pasti pihak AFL akan benarkan mereka bermain di Liga M3.

“Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perkara ini kerana Kelantan masih mempunyai masa untuk cuba menyelesaikan masalah mereka bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Tiada masalah untuk Kelantan untuk buat permohonan mahu bermain di Liga M3, tetapi kami perlu merujuk perkara itu kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

Apa yang saya boleh katakan ketika ini adalah mereka boleh mohon tapi belum tentu pihak AFL akan membenarkan mereka bermain hanya kerana mereka adalah kelab Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Raimi, keutamaan AFL ketika ini adalah kelab-kelab yang berada di bawah naungan mereka iaitu Liga M3, Liga M4 dan Liga M5.

Saingan Liga M3 musim depan akan kekal berjalan dengan 14 pasukan yang mana satu pasukan tercorot musim ini akan diturunkan ke Liga M4, manakala dua pasukan teratas Liga M4 akan naik ke Liga M3.

Oleh itu, berdasarkan situasi semasa ini tiada keperluan untuk pihak AFL untuk membuat pengecualian khas buat Kelantan sekiranya mereka ingin bermain di Liga M3.

Dalam pada itu, Raimi turut menjelaskan mengapa musim 2023 pihak AFL tiada masalah untuk menerima permohonan daripada Sarawak United adalah kerana mereka datang pada waktu yang tepat di mana beberapa kelab menarik diri.

“Untuk musim ini kita memang sudah tetapkan yang 14 pasukan akan bersaing, jadi apabila beberapa pasukan menarik diri seperti Kinabalu Jaguars FC dan Real Chukai FC, maka kehadiran Sarawak United dan Melaka FC tepat pada waktunya yang mana ia dapat melengkapkan 14 pasukan untuk musim ini.

Bagaimanapun untuk musim depan, kami tiada masalah sekiranya jika ada kelab dari Liga M3 yang mahu menarik diri kerana kami mempunyai banyak pasukan di Liga M4 yang boleh dibawa naik sekiranya mereka layak.

Jadi seperti yang saya katakan tadi, Kelantan boleh hantar permohonan untuk dipertimbangkan tetapi tiada jaminan yang mereka boleh bermain.”

Apa pun kita nantikan keputusan FIB dan MFL (Malaysian Football League) samada Lesen Kebangsaan akan diberikan kepada Kelantan atau tidak.