Jika kelab sendiri yang tak nak berubah, macam mana MFL nak naikkan Liga Malaysia?

48

Malaysian Football League (MFL) semalam telah mengumumkan kemas kini mengenai status Lesen Kebangsaan kelab-kelab yang memohon untuk musim 2024/25.

Menurut MFL, hanya 10 pasukan yang berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan manakala tiga lagi kelab diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman.


Bagaimanapun, sebuah kelab iaitu Kelantan FC nampaknya terpaksa menunggu sehingga 30 November untuk menyelesaikan segala keperluan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Hukuman pertama yang dikenakan adalah denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB dan kedua adalah untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos atau persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.

Dengan perkembangan ini, saingan Liga Super mungkin akan menjadi lebih suram musim depan dengan hanya penyertaan 13 pasukan.

Pada musim lalu, saingan Liga Super sepatutnya disertai oleh 16 pasukan tetapi disebabkan masalah yang menimpa dua pasukan, ia diteruskan dengan 14 pasukan sahaja.

Sekiranya Kelantan juga tidak berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan, nampaknya saingan Liga Super akan disertai dengan jumlah pasukan yang lebih sedikit.

Dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, terdapat sebilangan yang menganggap saingan Liga Super sebagai tidak cukup gah kerana nilai komersilnya yang tidak begitu tinggi dan jumlah pasukan yang rendah, berbanding Liga Thailand atau Liga Indonesia.

Namun, tiada pihak yang boleh disalahkan berbanding kelab yang bermasalah itu sendiri kerana pasukan-pasukan yang bermasalah inilah yang menjatuhkan reputasi Liga Malaysia.

MFL selaku penganjur liga sukar untuk menaikkan taraf liga menjadi lebih tinggi sekiranya pasukan-pasukan tidak bertanggung jawab untuk melakukan tugas mereka.

Masalah tunggakan gaji, kegagalan meraih lesen, isu kualiti stadium dan lain-lain lagi masalah menyebabkan sukar untuk Liga Malaysia menyaingi saingan liga lain yang lebih baik di rantau ini.

Sekiranya kelab itu sendiri yang tidak mempunyai kesedaran untuk berubah, bagaimana MFL selaku penganjur liga mahu meningkatkan lagi martabat liga.

Langkah pertama iaitu mendapatkan lesen pun sudah tidak berjaya, belum lagi masalah lain yang lebih rumit seperti masalah kewangan, tunggakan gaji dan sebagainya.