Mungkinkah Bojan Hodak akan pancing pemain KL City FC lagi selepas Kevin Mendoza?

83

Penjaga gol yang berasal daripada Filipina, Kevin Ray Mendoza rasmi menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung selepas meninggalkan KL City FC baru-baru ini.

Penghijrahannya ke kelab Indonesia itu tidak begitu mengejutkan kerana beliau akan kembali bermain dengan bekas jurulatihnya di KL City, Bojan Hodak.


Jurulatih dari Croatia itu memang begitu menggemari Mendoza yang merupakan penjaga gol utamanya di KL City dan pernah mencatat beberapa kejayaan termasuklah menjualang Piala Malaysia 2021, naib juara Piala AFC 2022 serta naib juara Piala FA 2023.

Berbeza dengan pasukan-pasukan lain Liga Malaysia yang kebanyakan pemainnya sentiasa bertukar setiap musim, KL City pula boleh dikatakan sering mengekalkan lebih separuh pemainnya dalam tempoh Bojan Hodak menjadi jurulatih.

Ia merupakan salah satu resipi kejayaan jurulatih itu di KL City walaupun tidak mempunyai bajet yang begitu tinggi.

Justeru tidak hairanlah KL City mampu bersaing secara konsisten dengan pasukan-pasukan yang lebih besar walaupun tidak mempunyai ramai pemain bintang.

Adakah penghijrahan Mendoza ke Persib Bandung bakal membuka pintu kepada beberapa pemain KL City yang lain untuk turut serta ke negara jiran itu.

Pemain-pemain KL City yang ada sekarang kebanyakannya pernah beraksi di bawah bimbingan Bojan Hodak, dan jurulatih itu sendiri mungkin tertarik untuk bergabung kembali dengan beberapa orang anak buahnya.

Lagipun, KL City sebelum ini dilaporkan mempunyai masalah kewangan dan juga kelewatan pembayaran gaji, jadi ia mungkin boleh dimanfaatkan untuk memancing pemain-pemain dari KL City.

Prestasi Persib Bandung ketika ini begitu memberangsangkan, dengan Bojan Hodak berjaya membawa pasukan itu menghuni tangga kedua.