Imej negatif buatkan bola sepak Sarawak sukar berkembang, kita tak boleh tabur duit saja untuk selesaikan masalah – Abang Zulkarnain

68

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman menyifatkan bahawa bola sepak di negeri itu sukar untuk berkembang disebabkan imej yang kini sudah negatif.

Katanya, disebabkan banyak masalah yang berlaku terhadap pasukan Sarawak United sebelum ini, ia telah menonjolkan imej negatif terhadap bola sepak di negeri itu sehingga sukar untuk meyakinkan mana-mana pihak untuk terlibat dalam bola sepak Sarawak.


“Isu utama yang melibatkan bola sepak Sarawak yang menjadi rantai yang mengikat kita untuk berkembang adalah isu imej, sejak kebelakangan ini imej yang ditonjolkan adalah negatif.

Sebut saja apa masalah seperti tunggakan gaji, tak boleh nak dapatkan lesen, tak boleh nak tepati tempoh masa sebagainya, semuanya ada.

Masalah-masalah ini menyebabkan imej negatif dan sukar untuk meyakinkan mana-mana pihak ketiga sebagai rakan komersil atau penaja,”

Tambahnya, ia juga menyebabkan sukar untuk kerajaan negeri yang selama ini sentiasa membantu bola sepak Sarawak dari segi dana.

Beliau mengakui isu tersebut tidak dapat diselesaikan dengan sekelip mata dan duit semata-mata tidak akan mampu untuk menyelesaikannya.

“Jika kita beri masa, sumber dan tenaga semata-mata untuk selesaikan itu itu, besar kemungkinan kita tak akan berupaya mengubah langsung lanskap bola sepak di Sarawak kerana ia bukan boleh diselesaikan sekelip mata.

Memang ia isu tunggakan gaji tetapi lepas selesai apa pula seterusnya? Apa akan jadi kalau pada masa hadapan ia berlaku lagi? Jadi penyelesaiannya tidak boleh difikirkan dengan jalan hanya beri duit, kena lihat secara holistik.”

Katanya lagi, mereka juga tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada Sarawak United tetapi juga Kuching City yang merupakan pasukan daripada negeri itu juga.