Luqman Hakim ke Selangor? Kenapa tidak?

251

Setelah sekian lama menyepi, bintang bola sepak Luqman Hakim Shamsudin tular baru-baru ini apabila beliau menyarung jersi Selangor FC ketika sedang bersenam di sebuah gimnasium, meskipun masih dibawah pengendalian skuad KV Kortrijk milik Tan Sri Vincent Tan.

Beliau yang sempat mewakili pasukan Selangor 2 pada tiga tahun lalu, juga dilihat seakan jarang sekali memaparkan aksi bersama pasukan KV Kortrijk, begitu juga ketika dirinya menjadi pemain pinjaman di Iceland.


Hari demi hari, adakah Luqman sedang memberikan petanda untuk kembali bermain untuk pasukan Selangor?

Walaupun beliau dikatakan lebih cenderung untuk mengembangkan karier bola sepaknya bersama pasukan dari luar negara, namun tidak dapat kita nafikan, tiada tempat yang dapat menandingi tanah air kita yang tercinta.

Melihatkan usia beliau yang masih muda, dipercayai tiada penghalang buat dirinya jika ingin mengumpul seberapa banyak pengalaman di kelab yang lebih baik.

Luqman yang mempunyai ‘kemahiran lebih’ dengan diterbangkan khas dari Eropah pastinya ingin memberikan persembahan yang terbaik sekaligus memikat hati jurulatih skuad itu, Juan Torres Garrido di Perlawanan AFC Piala Asia B-23 yang diadakan pada tahun hadapan.

Dengan antara pemain yang berpotensi untuk tersenarai seperti Nooa Laine, Kobe Chong, Richard Chin, begitu juga Arif Aiman dan Feroz Baharudin, sudah tentu penampilan Malaysia di kejohanan itu akan memberikan suatu kejutan besar.

Pastinya Luqman atau ‘Luqie’ menginginkan peluang untuk beraksi bersama.

Sebagai contoh, Hadi Fayyadh yang pulang dari Jepun, meski tidak banyak bermain di Perak FC, tetapi berjaya memenangi Challenge Cup semasa dipinjamkan ke PDRM FC, untuk memulakan semula kariernya.

Setidak-tidaknya beliau masih bersemangat untuk beraksi dengan baik.

Ruang dan peluang akan selalu ada buat Luqie pada masa hadapan, jika dia berjaya di Selangor.

Impian dari Eropah, ke J-league dan K-league tidak akan pudar begitu sahaja.

Pasukan Selangor FC nampaknya perlu pantas dalam mengejar ‘momentum’ permainan di ACL2 kerana kini ianya adalah suatu taraf kejohanan yang cukup berbeza.

Diperhatikan dari kecemerlangan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di AFC Champions League 2 (ACL2), ianya boleh dijadikan telunjuk buat The Red Giants.

Barangkali kurang dari lima orang pemain didalam pasukan itu yang boleh dikategorikan sebagai bintang kelas A, dan perkara itu tentunya sedang didalam pemantauan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan ketua jurulatih kelab itu, Tan Cheng Hoe.

Jejak langkah JDT dalam hal ini wajarlah dicontohi demi merapatkan jurang antara mereka dengan golongan elit Asia yang hebat belaka.