Walaupun bergelut di musim terakhir, Aidil Sharin tak pernah menyesal kekal bersama Kedah

318

Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Aidil Sharin Sahak memberitahu bahawa beliau tidak pernah berasa menyesal kekal bersama pasukan itu pada musim lalu biarpun berada dalam situasi sukar ketika itu.

Menurut Aidil, beliau pada mulanya sudah mendapat tawaran daripada sebuah kelab lain di Liga Super tapi mengambil keputusan untuk terus kekal bersama KDA kerana mengenang jasa baik pasukan itu kepadanya.


“Selepas beberapa pemain utama meninggalkan pasukan, saya juga mahu keluar kerana ketika itu saya sedang menunggu tawaran daripada sebuah kelab Liga Super tetapi ketika itu CEO bertemu dengan saya dan menyakinkan saya untuk terus kekal dan bantu pemain-pemain muda daripada pasukan kedua untuk naik ke skuad utama.

Jadi mengenangkan jasa kelab kepada saya, saya kekal. Tapi saya tidak pernah berasa menyesal walaupun kita bergelut pada musim lalu tapi saya masih gembira dapat ketengahkan pemain-pemain muda seperti Fayadh Zulkifli, Kamil Akmal, Loqman Hakim dan Aiman Afif,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah pengendali berasal dari Singapura itu lagi, biarpun mereka bergelut ketika itu tetapi mereka berjaya juga mendapatkan keputusan baik pada saingan Piala AFC 2022 selepas berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir zon ASEAN.

Aidil mengemudi Sang Kenari selama empat musim iaitu dari tahun 2019 hingga 2022 yang mana sepanjang tempoh itu beliau berjaya membawa pasukan Hijau Kuning itu menjadi juara Piala FA 2019, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super dua musim berturut-turut.

Dalam pada itu, Aidil yang merupakan pengendali Kuching City FC ketika ini sekali lagi memperlihatkan kemampuannya apabila berjaya membawa pasukan yang bergelut mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran 2023.

Beliau bagaimanapun terpaksa akur apabila tewas 4-1 pada perlawanan akhir kepada PDRM FC.

Bercerita lanjut mengenai hala tujunya pada musim depan, Aidil akan kekal bersama Kuching City pada musim depan.

Untuk musim 2024, Aidil mendedahkan beliau akan membawa masuk beberapa bekas pemainnya ketika di Kedah sebelum ini.

“Ya tiga pemain yang pernah bekerja dengan saya di Kedah dan ada pemain merupakan bekas pemain kebangsaan yang mana mereka ketika ini sentiasa berada dalam kesebelasan utama kelab mereka.”

Aidil bagaimanapun tidak dapat dedahkan lanjut butiran kerana ia saingan liga masih belum berakhir.