Tumpang ‘hype’ final dan kemeriahan diskaun saman, masa terbaik untuk PDRM FC tarik fans!

65

Terdapat tiga perkara yang mungkin boleh kita manfaatkan sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia Jumaat ini.

Bukan sahaja dapat menyaksikan penentangan di antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC, penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut berpeluang untuk membayar saman yang tertunggak di kaunter yang tersedia.


Inisiatif yang dicipta khas menerusi konsep ‘Malaysia Madani’ itu akan dijalankan selama tiga hari, berakhir Ahad – 10 Disember, bersama diskaun bayaran saman yang banyak.

Jika dilihat secara lebih teliti, ianya juga mampu menjadi peluang terbaik buat pasukan PDRM FC yang baru sahaja memenangi Malaysia Challenge Cup untuk menambah ‘fan base’ mereka.

Sudah dapat dibayangkan kemeriahan suasana ketika itu yang pastinya dibanjiri penyokong tegar kelab yang beraksi, mereka yang beratur untuk membayar saman serta barisan pemain PDRM FC.

Peluang ini boleh digunakan oleh kelab itu untuk saling beramah mesra bersama para penyokong yang hadir dan mengadakan pelbagai aktiviti bola sepak yang menarik khas dari PDRM FC kepada penyokong bermula dari petang sebelum perlawanan.

Ianya perlulah dipertimbangkan pasukan yang memiliki sebahagian pemain anggota polis itu dengan baik demi menghimpunkan ramai lagi penyokong mereka sekaligus sorakan yang lebih gamat di stadium.