SAFA akan terus agresif untutk lahirkan ramai pemain wanita berkualiti untuk negara – Arziz Rumsani

149

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Muhd Arziz Afizy Rumsani memberitahu bahawa pihak mereka akan lebih agresif pada tahun hadapan untuk memperkasakan bola sepak wanita di negeri itu.

Menurut Arziz Rumsani, Sabah mempunyai ramai bakat-bakat berkualiti yang boleh diketengahkan bukan sahaja untuk negeri tetapi juga untuk pasukan kebangsaan Malayan Tigress.


“Untuk pemain-pemain wanita Sabah, ya memang ramai pemain yang berbakat tetapi persiapan pemain ini dibentuk lebih awal dan ia adalah hasil daripada tunjuk ajar daripada jurulatih yang kita ada seperti Justin Ganai dan Petronella Dounny dan beberapa lagi.

Ini membuahkan hasil yang mana bakat-bakat ini dapat dicari dan Alhamdulillah mereka telah menunjukkan permainan yang baik sehingga terpilih menyertai pasukan kebangsaan.

Pihak kami tidak akan berhenti di sini untuk cari bakat-bakat yang baru bagi diserap ke pasukan negeri Sabah dan menyumbang kepada negara kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, kejayaan pasukan dari Negeri Di Bawah Bayu ini adalah hasil kerja keras yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan yang sanggup mencari bakat-bakat baru di seluruh negeri itu untuk diketengahkan.

Dalam pada itu, bagi memastikan program pembangunan akar umbi bola sepak wanita di negeri itu lebih diperkasa, SAFA bakal menganjurkan lebih banyak kejohanan pada tahun hadapan.

“Di negeri Sabah kita kekurangan kejohanan untuk liga wanita, jadi untuk tahun hadapan kita sudah ada perancangan untuk pembangunan akar umbi dan liga tempatan Sabah.

Untuk makluman pihak SAFA akan menganjurkan satu kejohanan yang dinamakan Piala Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag pada 6 dan 7 Januari ini di Kota Kinabalu. Jadi kami berharap setiap daerah di negeri dapat menghantar pasukan untuk bertanding.”

Sementara itu, Arziz Rumsani yang juga merupakan Pengurus Pasukan turut meluahkan kegembiraannya apabila pasukan bola sepak wanita Sabah berjaya menjulang kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) yang mana melebihi sasaran awal yang diletakkan kepada pasukan itu iaitu untuk berada pada kedudukan Top 3.

“Alhamdulillah pasukan bola sepak wanita Sabah berjaya dibentuk walaupun pada awalnya bergelut kerana kerana terpaksa mempersiapkan pasukan dalam tempoh yang singkat, tapi Alhamdulillah sasaran kami untuk berada di kedudukan Top 5 tapi semasa kita bermain saya melihat pasukan kita boleh menjuarai dan akhirnya kita berjaya merangkul kejuaraan.”

Selain membawa pasukan wanita, beliau turut membawa pasukan wanita B-15 yang kini sedang cemerlang dalam saingan Liga Puteri B-15 FAM 2023.