Rahadiazli semakin terpinggir di Terengganu? Lebih baik angkat kaki demi perkembangan karier

135

Berakhir sudah perjalanan Terengganu FC dalam kejohanan Piala AFC walaupun berjaya menundukkan Bali United 2-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan semalam, selepas hanya menduduki tangga kedua kumpulan.

Pada perlawanan tersebut, keputusan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner yang menurunkan penjaga gol ketiga, Syed Nasrulhaq dan meletakkan penjaga gol kedua, Rahadiazli Rahalim di bangku simpanan menimbulkan persoalan.


Dalam aksi yang boleh dianggap sebagai antara perlawanan paling penting buat pasukan musim ini, tindakan Steinbruckner itu seolah-olah memberikan mesej yang jelas bahawa kedudukan Rahadiazli kini sudah semakin bawah.

Pada sidang media menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia minggu lalu, beliau sendiri mengakui bahawa Suhaimi Husin merupakan penjaga gol utama dan Rahadiazli harus mencari pasukan lain sekiranya mahu menjadi nombor 1.

Tetapi nampaknya kini Rahadiazli mungkin sudah jadi penjaga gol ketiga dan semakin tidak dipercayai oleh Seteinbruckner.

Namun, keputusan jurulatih dari Croatia itu dilihat bersebab kerana beberapa kali tindakan Rahadiazli menyebabkan pasukannya berputih mata.

Yang terbaru adalah ketika aksi Liga Super di mana kegopohan Rahadiazli pada minit-minit akhir permainan menyebabkan Terengganu kehilangan dua mata berharga.

Bagaimanapun, sayang sekiranya bakat Rahadiazli dibiarkan begitu sahaja kerana sebelum ini beliau pernah dianggap sebagai prospek penjaga gol masa depan buat negara.

Beliau kini masih lagi muda, berusia 22 tahun, dan mempunyai banyak lagi masa dan ruang untuk belajar serta meningkatkan tahap diri.

Tetapi, untuk mengembangkan potensinya, beliau mungkin terpaksa berhijrah ke pasukan lain yang mampu memberikan peluang kepadanya.

Peluangnya di Terengganu buat masa ini dilihat semakin tertutup, justeru apa yang perlu dilakukan adalah berhijrah keluar untuk musim depan.

Ini juga peluang baik buat kelab-kelab lain yang memerlukan khidmat penjaga gol berbakat untuk cuba mendapatkan beliau.