Rizal Ghazali akan beraksi bersama kelab di Semenanjung musim depan

177

Pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali mengesahkan bahawa beliau akan berhijrah pada musim hadapan selepas kontraknya bersama pasukan tamat pada hujung musim ini.

Menurut Rizal, beliau masih lagi belum dapat mendedahkan lagi destinasi barunya namun berkata mahu beraksi dengan kelab yang berpengkalan di Semenanjung.


“Kontrak saya sudah pun habis tapi saya masih belum tahu arah tuju saya. InsyaAllah mungkin saya akan ke Semenanjung kerana ibu bapa saya tidak sihat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun masih belum dapat dedahkan lanjut mengenai destinasinya pada musim hadapan, pemain kelahiran dari Kedah itu mengakui sudah mendapat tawaran daripada beberapa kelab.

“Saya sudah mendapat tawaran daripada empat pasukan tapi belum buat sebarang keputusan lagi kerana mahu fokus pada pasukan Sabah terlebih dahulu.”

Dalam pada itu, Rizal berkata mereka perlu segera bangkit untuk memperbaiki kelemahan mereka sebelum menentang Kedah Darul Aman FC pada perlawanan terakhir Liga Super pada 17 Disember ini.

Ia susulan The Rhinos tewas 3-1 kepada PSM Makassar malam tadi dalam aksi terakhir kumpulan Piala AFC di Stadium Likas.

“Perlawanan terakhir liga menentang Kedah sangat penting buat kami kerana kedua-dua pasukan dalam misi untuk mendapatkan kedudukan Top 3, jadi kami perlu lebih fokus.

Kita beruntung kerana akan bermain di tempat sendiri nanti jadi saya harap semua penyokong dapat turun memberi sokongan.”